Mahu anak jadi calon DUN Rengit punca Puad keluar UMNO – Asyraf Wajdi

Izzat Nasuruden
Izzat Nasuruden
Penulis merupakan wartawan di UtusanTV dengan pengalaman 11 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada Januari 2022, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media arus perdana dan portal berita lain sejak 2015. Sepanjang kerjaya, penulis telah menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu seperti jenayah, politik, perkembangan semasa dan hiburan.

Dari Penulis

KEPUTUSAN Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi keluar parti berpunca daripada kekecewaan kerana anaknya tidak dipilih sebagai calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Rengit.

Perkara itu didedahkan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki yang menegaskan UMNO bukan medan politik berasaskan warisan keluarga.

Katanya, beliau berasa dukacita dengan keputusan Mohd Puad meninggalkan parti, namun menyifatkan alasan yang diberikan bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO itu sebagai tidak tepat dan berbaur fitnah.

Menurutnya, tuduhan kononnya Istana mengawal UMNO Johor sehingga menitahkan pembubaran DUN Johor pada 1 Jun lalu tidak berasas.

“Mohd Puad sebelum ini menulis secara panjang lebar dengan mengugut untuk keluar parti serta menghentam UMNO sekiranya kepimpinan tertinggi tidak mempertimbangkan anak beliau sebagai calon DUN Rengit.

“Benar, anak beliau masih muda dan mempunyai potensi besar untuk diketengahkan sebagai pemimpin. Namun, parti perlu mengambil kira pelbagai faktor dalam menentukan calon bagi sesuatu pilihan raya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dakwa Mohd Puad ugut jika tuntutan tidak dipenuhi

Asyraf Wajdi berkata, adalah tidak wajar seorang pemimpin berpengalaman mensyaratkan anaknya mesti dipilih menggantikan tempat beliau di DUN Rengit.

Katanya, tindakan mengugut untuk keluar parti dan menyerang UMNO hanya kerana kehendak peribadi tidak dipenuhi mencerminkan pendekatan yang tidak selari dengan semangat perjuangan parti.

Beliau turut mendakwa tindakan sedemikian bukan kali pertama dilakukan Mohd Puad.

Menurutnya, ketika era pentadbiran bekas Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak, Mohd Puad juga pernah mengugut untuk keluar parti sekiranya tidak dicalonkan semula sebagai Ahli Parlimen Batu Pahat.

“Cukuplah UMNO diugut sedemikian rupa. UMNO bukan parti warisan anak-beranak yang mesti mengutamakan keluarga atau kelompok tertentu untuk menjadi pemimpin,” katanya.

Kepentingan parti melebihi individu

Asyraf Wajdi menegaskan perjuangan UMNO jauh lebih besar daripada kepentingan individu, tuntutan keluarga atau rasa kecewa mana-mana pihak.

Beliau berkata, parti itu selama ini telah memberi ruang kepada ramai pemimpin untuk berkhidmat dan membina nama, justeru tidak wajar UMNO dijadikan sasaran serangan apabila kehendak peribadi gagal dipenuhi.

“UMNO mesti terus berdiri sebagai parti perjuangan bangsa, agama dan tanah air, bukan tunduk kepada tekanan mana-mana individu,” katanya.

Pada masa sama, beliau tetap mendoakan Mohd Puad agar terus berjaya dan menghargai segala sumbangan yang pernah diberikan kepada parti sepanjang penglibatannya dalam UMNO.


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Hadir pada kempen PH, Puad Zarkashi akui ‘penyokong Kerajaan Perpaduan’

BEKAS Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rengit, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi yang keluar UMNO minggu lalu, menegaskan beliau...

More Articles Like This