Pernahkah anda menonton filem ‘Catch Me If You Can’ lakonan Leonardo Dicaprio? Tahukah anda, watak penjenayah licik dalam filem tersebut diinspirasikan daripada kisah benar?

Watak penjenayah yang cerdik dalam filem tersebut sehingga sukar diberkas memang benar-benar wujud. Dia adalah Frank William Abagnale, digelar sebagai penjenayah paling muda dan licik dalam sejarah dunia.
Usia mudanya tidak seperti remaja lain kerana pada umur 16 hingga 21 tahun, sebahagian hidup Frank dihabiskan dengan kegiatan penipuan, pemalsuan cek, penyamaran termasuklah menyamar sebagai peguam, pensyarah, doktor dan juruterbang.
Frank menikmati kehidupan masa kecilnya bersama tiga orang adik-beradik yang lain. Empat bersaudara ini tinggal dengan ibu bapa mereka di Bronxville, New York. Bagaimanapun, ibunya, Paulette dan ayahnya, Frank Abagnale Sr bercerai ketika dia berumur 16 tahun. Perceraian tersebut telah membuatkan kehidupan Frank tidak menentu dan mulai berubah tingkah menjadi seorang penipu.

Mangsa pertama Frank ialah ayahnya sendiri. Ayahnya adalah orang kaya yang arif dalam selok-belok politik dan perniagaan. Pengaruh si ayah sangat besar kepada Frank sehingga dia teringin untuk menjadi kaya seperti ayahnya.
Suatu hari, Frank membuat rencana penipuan. Kad kredit yang diberikan oleh ayahnya untuk kegunaan mengisi minyak kereta pergi dan balik kerja telah disalahgunakan untuk berjoli.
Dia menggunakan kad kredit itu dengan memalsukan resit pembayaran bagi tujuan berpesta dan membeli bermacam-macam barangan aksesori kereta.
Barangan tersebut kemudian dijual semula bagi mendapatkan wang tunai yang mengakibatkan kerugian ratusan ribu ringgit kepada ayahnya.
Setelah penipuan pertama berhasil, Frank menipu pula pihak bank dengan memalsukan cek. Beliau melakukan penipuan itu dengan cara membuka akaun baru di bank lain menggunakan identiti palsu yang direkanya sendiri.
Salah satu trik penipuannya yang paling terkenal, dia menghasilkan nombor cek palsu sama seperti nombor cek asli keluaran bank. Salinan cek itu kemudian didepositkan ke dalam beberapa jenis akaun sebelum mengeluarkan wang daripada akaun terbabit.
Apabila penipuannya itu disedari oleh pihak bank, Frank beralih pula kepada bidang penyamaran. Penyamaran pertama beliau adalah sebagai juruterbang Pan American World Airways. Kali ini, dia memalsukan lesen juruterbang dan mendapatkan pakaian seragam dengan cara menipu pihak syarikat, kononnya dia kehilangan pakaian seragam.

Dalam ‘kerjaya’ tersebut, Frank telah terbang lebih daripada 250 kali ke 26 buah negara dengan menempuh jarak sejauh 1,609,344 kilometer.
Penyamaran itu dilakukan selama beberapa tahun, ketika Frank berusia 16 sehingga 18 tahun. Selama itu, Frank menikmati segala kelebihan sebagai seorang pilot seperti penginapan hotel dan makanan percuma. Pernah sekali, dia ditawarkan oleh juruterbang sebenar menerbangkan sebuah pesawat pada ketinggian 9,100 meter daripada aras laut. Frank hanya mengaktifkan mod auto pilot kerana tidak tahu cara pemanduan sebenar.
Dalam penyamaran seterusnya, Frank menggunakan identiti sebagai Frank Adams untuk bekerja selama satu semester di Brigham Young University sebagai pensyarah sosiologi. Beliau kemudian memperlahankan kegiatan jenayahnya dengan berpindah ke Georgia selepas hampir diberkas polis.

Di Georgia, dia menyamar pula sebagai seorang doktor kanak-kanak menggunakan identiti sebagai Frank Connor. Baginya, tugas itu mudah kerana dia hanya mengarahkan doktor pelatih mengendalikan kes.
Satu hari, pembohongannya hampir sahaja terbongkar apabila dia tidak memahami istilah ‘blue baby’ yang diberitahu oleh jururawat hingga menyebabkan hampir meragut nyawa bayi tersebut.
Selepas berhenti menyamar menjadi doktor, Frank melakukan penyamaran lagi di mana kali ini memilih sebagai seorang peguam. Modus operandinya, sijil kelayakan dari Harvard University dipalsukan dan menyamar sebagai pelajar di Harvard Law School. Ketika itu, Frank baru berusia 19 tahun.
Dia akhirnya diterima bekerja di pejabat Louisiana Attorney General selepas lulus ujian. Genap lapan bulan bekerja sebagai peguam, Frank berhenti apabila identitinya semakin dicurigai.

Pembohongan Terbongkar
Secerdik mana Frank menyamar, akhirnya kegiatannya terbongkar. Pada tahun 1969, ketika berumur 21 tahun, Frank ditangkap polis sewaktu berada di Montpellier, Perancis setelah dilaporkan oleh bekas kekasihnya, seorang pramugari.
Selepas menjalani hukuman, dia dibawa ke Sweden untuk dibicarakan atas dakwaan pemalsuan cek. Beliau sekali lagi didapati bersalah dan dijatuhkan hukuman enam bulan penjara di Malmo, Sweden.

Frank kemudian dihantar pulang ke Amerika Syarikat dan dihukum penjara selama 12 bulan. Bagaimanapun, si licik ini sempat melarikan diri.
Frank dilaporkan berjaya meloloskan diri daripada pesawat yang sedang bergerak di landasan ketika perjalanan balik ke Amerika Syarikat. Dia berlari ke tepi landasan dan memotong pagar sebelum pergi ke Grand Central Terminal. Wang dalam peti simpanan sebanyak puluhan ribu dikeluarkannya lalu meneruskan perjalanan ke Brazil. Namun, niatnya itu berjaya digagalkan oleh pihak polis Kanada.
Pada tahun 1974, hukuman penjara Frank dikurangkan dengan syarat dia membantu pihak kerajaan dalam membanteras jenayah pemalsuan cek tanpa sebarang gaji.
Setelah bebas, Frank meneruskan kehidupan seperti biasa dengan mencuba pelbagai pekerjaan termasuk sebagai penjual sayur. Namun, sukar untuknya mencari pekerjaan kerana dia tidak memiliki surat berkelakuan baik.
Frank kemudian memohon kerja di bank. Bagi mendapatkan pekerjaan itu, dia menunjukkan segala macam trik yang digunakan untuk memalsukan cek.
Sejak itu, bermulalah kerjaya Frank sebagai perunding keselamatan kewangan. Tidak lama kemudian, beliau menubuhkan syarikat perunding keselamatan kewangan sendiri, Abagnale & Associates. Beliau menawarkan khidmat nasihat kepada pelbagai badan organisasi termasuk FBI mengenai masalah penipuan dan cara mencegahnya.

Frank yang berusia 74 tahun kini menetap di Charlestown, South California bersama isterinya, Kelly. Mereka berkahwin setahun selepas beliau mendapat pengesahan sebagai penduduk rasmi Amerika.
Menerusi pernikahan tersebut, pasangan ini dikurniakan tiga orang anak – Scott, Chris dan Sean. Salah seorang di antara mereka difahamkan bekerja sebagai anggota FBI.

Kisah hidup Frank pernah ditulis dalam sebuah biografi dengan menggunakan namanya sendiri.
Ia turut dibawa ke layar perak dalam sebuah filem berjudul “Catch Me If You Can” yang dilakonkan oleh Leonardo Dicaprio yang diterbitkan pada tahun 2002.
Watak ejen FBI dalam filem tersebut yang dilakonkan oleh Tom Hanks juga benar-benar wujud. Ejen itu ialah Joseph Shea, orang yang tidak pernah jemu memburu Frank.
Selepas Frank berjaya diberkas, Frank dan Joseph berkawan baik sehinggalah Joseph meninggal dunia pada 4 Ogos 2005 ketika berusia 85 tahun.

_______________
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram.

