Ada rumah besar, kereta mewah, itu petanda kau orang kaya! Satu penanda aras menunjukkan kau berjaya!

Inilah persepsi yang ditanam dalam minda masyarakat sejak zaman datuk nenek. Dan golongan bangsawan dan jutawan ini seringkali dipuja atas kemewahan yang dimiliki.

Perkongsian Reni bt Rahmat mengenai Qarun zaman moden cukup membuka mata apabila fenomena ini dilihat seakan-akan normal dalam zaman millenial.

Jelasnya, pengakuan manusia akan harta yang diperoleh merupakan hasil usahanya semata-mata merupakan satu kebanggaan yang tidak patut ada dalam hati seorang mukmin.

Ikuti perkongsian yang cukup bermakna ini.

“Bahaya materialisma.

“Beberapa hari lepas, saya tertonton satu LIVE. Seorang founder berkongsi tentang kejayaannya..

“Sebenarnya, tertonton tuh pun sebab suka tengok rumah nya yang cantik.

“Dok ralit perhati rumah dia melalui LIVE tersebut, tiba-tiba saya berhenti sekejap tatkala terdengar beliau berkongsi tips kejayaan nya.

“Beliau berkata, “hendak berjaya, kena berusaha. Hendak kaya, kena berusaha”

“Di sambung lagi — “Tengok macam saya, lepas 3 tahun berusaha, akhirnya Allah beri semua ini.”

“Saya mendengar lagi;

“Apa definisi kaya bagi korang? Kereta besar. Rumah besar?

“Telinga terus di fokuskan untuk mendengar sambil melihat beliau terus berkongsi,

“Bagi saya, kaya itu bila kau miliki sebuah rumah yang mewah. Sebab kalau setakat ada kereta, orang boleh je pinjam kereta itu, pastu tayang dan cakap kereta itu milik mereka. Rumah tak boleh”

“Sambil mendengar itu, saya sempat membaca komen-komen yang di tinggalkan.

“Ada yang komen, “seronoknya kak. Bila lah saya boleh dapat camni?”

“Ada juga yang Komen, “In Shaa Allah, satu hari, pasti saya dapat rumah idaman saya.”

“Tak kurang juga yang komen, “betul tuh kak. Kena usaha, baru Allah bagi. Saya pun dah masukkan dalam wishlist rumah idaman saya”.

“Dan berpuluh-puluh lagi komen yang menunjukkan rasa teruja, rasa excited, dan mahu ikut jejak founder tersebut.

“Senario ini adalah salah satu senario normal pada masa kini..Ada yang memberi motivasi dengan kejayaan dan kekayaan yang di miliki.

“Ada juga yang excited dan teruja mahu menjejaki kejayaan dan kekayaan yang di miliki oleh mereka ini.

“Pagi ini, saya menelusuri Surah Qasas..Dalam Surah Qasas ini, ada di ceritakan tentang Qarun.

“Di dalam ayat 78, Qarun ada menyebut –Qarun berkata: “Sesungguhnya aku hanya diberi harta itu, kerana ilmu yang ada padaku”. Dan apakah dia tidak mengetahui, bahawasanya Allah ‎ sungguh telah membinasakan umat-umat sebelumnya yang lebih kuat daripadanya, dan lebih banyak mengumpulkan harta? Dan tidaklah perlu ditanya kepada orang-orang yang berdosa itu, tentang dosa-dosa mereka.

“Ini adalah jawapan Qarun kepada nasihat yang diberikan kepadanya: Dia telah berkata yang dia di beri dengan harta yang banyak; .(yang membawa maksud ada seseorang yang memberikan kepadanya), tetapi siapa?.

“Maknanya, mungkin dia bermaksud yang memberikan itu memang Allah ‎ﷻ kerana dia juga Bani Israil. .Maka dia tahu yang Allah ‎ﷻ telah memberikan harta yang banyak. Tapi — dia merasakan dia di beri keistimewaan dan kerana itu layak diberikan dengan segala kekayaan oleh Allah ‎ﷻ.Dan sebenarnya, Ini adalah fahaman yang salah, kerana kesenangan dan rezeki yang banyak bukanlah tanda Allah ‎ﷻ sayang, juga redha.

“Dia juga merasakan – dia pandai mencari harta dan menjaga harta, maka kerana itu dia diberi kekayaan yang melimpah ruah.

“Pengertian ayat ini sama seperti yang disebutkan dalam ayat lain melalui firman-Nya:. “Maka apabila manusia ditimpa bahaya dia menyeru Kami, kemudian apabila Kami berikan kepadanya nikmat dari Kami dia berkata, “Sesungguhnya aku diberi nikmat itu hanyalah kerana kepintaranku.” (Az-Zumar: 49).

“Ironiknya, apabila saya membaca tafsir berkenaan Surah ini, rupanya bukan Qarun sahaja yang ada masalah ini tetapi ianya turut di jangkiti kepada orang-orang yang diberi kekayaan;

“Walaupun mereka kata kekayaan itu datangnya dari Allahﷻ ,tetapi mereka tetap merasakan yang mereka berhak mendapat kekayaan itu kerana kepandaian dan juga usaha mereka dan mereka tidak kata yang memang Allahﷻ yang menentukan harta itu untuk mereka sebagai barakah.

“Mereka tetap mengatakan – “Aku usaha, sebab itu aku dapat”.

“Ini adalah satu kebanggaan yang tidak patut ada di dalam hati seorang mukmin. Dan ini juga salah satu bentuk kesyirikan – iaitu membesarkan diri sendiri dan menidakkan kehendak Allah ﷻ.

“Sebenarnya, apa-apa sahaja kebaikan yang kita dapat di atas dunia ini — ianya adalah solid pemberian dari Allahﷻ –Dan memang ianya pemberian sepenuhnya, tanpa campur tangan manusia dan bukan juga kerana kepandaian kita, kelebihan kita, usaha penat lelah kita atau apa-apa sahaja yang ada pada diri kita.

“Mungkin kita memang telah berusaha dan kemudian kita berjaya, tetapi harus di ingati juga usaha kita itu tidak memberi bekas sebenarnya kalau Allah ﷻ tidak takdirkan kita dapat. Kerana Allah yang Maha Mengetahui. Dia yang mentakdirkan kehidupan kita, jadi begini. Jadi begitu. Usaha itu cuma asbab. Penyebab.

“Maka apa-apa sahaja yang kita dapat, kena pulangkan kembali kepada Allah ﷻ yang telah berikan kepada kita. Bukan kembalikan kepada diri – dengan mengagungkan usaha dan kepandaian diri sendiri.

“Ini adalah salah satu daripada Talbis Iblis (belitan Iblis).

“Dia membisikkan perasaan Ghurur dalam hati manusia. Ghurur adalah tipuan yang dikenakan kepada manusia.

“Manusia menyangka mereka hebat hingga lupa bahawa kehebatan dan apa sahaja yang mereka ada itu adalah daripada Allahﷻ.

“Maka, kita perlu menjaga hati kita dan menisbahkan apa sahaja yang kita ada daripada segi apa-apa sahaja kepada Allahﷻ.

“Kerana sangkaan yang kita dapat segala yang kita ada itu kerana kelebihan kita, adalah menunjukkan betapa kita terjebak dengan ilusi keimanan sendiri.

“Kita rasa Allah sudah beri kepada kita semua yang kita mahu di dunia ini, Kerana apa yang sudah kita lakukan di dunia.

“Kita rasa di muliakan. Kita rasa di angkat oleh Allah.

“Walhal, itu sebenar-benarnya adalah ilusi, atau bayangan diri sendiri – Yang merasa hebat, Yang merasa di muliakan,

“Tetapi, hakikatnya – hanya Allah Yang Maha Mengetahui segala-galanya.

“Kisah Qarun ini, tidak terhenti di sini sahaja. Tatkala di beri kemewahan, kekayaan dan kejayaan, Dia bukan sahaja berbangga dengan dirinya, malahan, dia turut keluar dan menemui pengikut-pengikutnya untuk menunjukkan kekayaan yang di miliki.

“Seperti yang di firmankan di dalam ayat 79, Surah Qasas.

“Maka keluarlah Qarun kepada kaumnya dalam kemegahannya. Berkatalah orang-orang yang menghendaki kehidupan dunia: “Moga-moga kiranya kita mempunyai seperti apa yang telah diberikan kepada Qarun; sesungguhnya dia benar-benar mempunyai keberuntungan yang besar”.

“Qarun telah keluar menemui kaumnya dengan segala kemegahan dan memakai segala perhiasannya.

“Untuk menunjuk-nunjuk kepada mereka. Dengan hebatnya kenderaan yang di miliki. Serta pengikut-pengikutnya yang ramai.

“Qarun keluar dengan penuh rasa kebanggaan dan kesombongan. Sifat sombong dan bangga ini, antara sifat terkeji yang tidak wajar di ikuti.

“Malahan, akibat perbuatan tersebut boleh menyebabkan orang lain mendapat fahaman yang salah.

“Lihat sahaja, apa kata mereka yang lemah akalnya dan mereka yang mempunyai sifat materialistik. Tatkala melihat kekayaan dan kejayaan Qarun, mereka terpesona. Dan mereka ini, antara golongan yang tidak mempunyai apa yang Qarun miliki ketika itu.

“Bahasa mudahnya; mereka miskin, tidak mempunyai harta. Jadi ini menunjukkan yang orang materialistik ini bukan semestinya orang kaya sahaja kerana orang-orang miskin juga ada sifat itu.

“Tetapi kerana mereka tidak mampu, mereka hanya mampu berangan-angan untuk menjadi kaya sahaja.

“Apa kata mereka? “Moga-moga kiranya kita mempunyai seperti apa yang telah diberikan kepada Qarun;

“Mereka ini adalah orang-orang yang tidak ada harta dan miskin, dan mereka teringin kepada harta yang banyak.

“Oleh kerana itu, mereka terpesona dengan apa yang ada pada Qarun.

“Mereka berangan-angan kalaulah mereka dapat apa yang telah diberikan kepada Qarun itu.Dan angan-angan ini – adalah angan-angan yang banyak diciptakan oleh kita semua pada zaman ini.

“Kita nampak — kayu ukur ‘kejayaan’ adalah ‘kaya’ dan ‘berpengaruh’.

“Kita yakin — “berjaya itu apabila kita dapat semua yang kita mahukan”.

“Dan ini antara salah faham yang sudah banyak di tanam ke dalam pemikiran kita hari ini. Kerana salah faham ini juga, maka ramai manusia yang mahukan kebendaan (material) kerana mereka sangka itulah kejayaan yang sebenar.

“Ketika saya membaca satu demi satu tafsiran ayat ini, saya termenung panjang.

“Fenomena Qarun ini seperti di ulang tayang ketika saya menonton LIVE Founder tersebut.

“Dan hakikat nyata, bukan itu sahaja satu-satunya LIVE yang di hidangkan..Malahan, sangat banyak tontonan-tontonan kemewahan, kejayaan, kekayaan yang di tonjolkan. Dan paling membuatkan hati terus muhasabah, ia datang dari mereka yang menjalankan perniagaan.

“Sungguh. Tidak terdaya jari ini hendak menaip di ruangan komen tersebut.

“Dengan niat mahu membetulkan persepsi dan pemahaman sebenar – apa itu definisi kejayaan sebenar.

“Yang saya mampu – hanya menulis di ruangan sendiri. Mudah-mudahan ia dapat di baca oleh mereka yang memerlukannya…Hakikatnya, kemewahan dan kejayaan manusia hari ini, sudah membelit ramainya leher manusia lain.

“Sehingga akhirnya, mereka terjebak dengan masalah jiwa, masalah emosi dan masalah hati..Ini lah bahayanya apabila menisbahkan kekayaan di miliki itu bersamaan dengan kejayaan diri. .Reni Bt Rahmat – Berpesan dengan kebenaran.”

Sumber : Reni bt Rahmat