PENINGKATAN kes secara mendadak di Pulau Tioman, Rompin, Pahang telah membuatkan pulau peranginan itu dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) selama 14 hari mulai esok sehingga 29 Mac.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah melaksanakan 48 ujian saringan dan daripada jumlah itu sebanyak 16 kes positif telah direkodkan.
Menurut Ismail Sabri, KKM turut mengesahkan berlaku peningkatan kes secara mendadak di lokaliti tersebut dengan kadar kebolehjangkitan dalam komuniti adalah tinggi.
“Setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan atas nasihat KKM, kerajaan bersetuju melaksanakan PKPD di Pulau Tioman, daerah Rompin, Pahang bermula 16 hingga 29 Mac.
“Pelaksanaan PKPD ini untuk memudahkan KKM melaksanakan saringan secara bersasar ke atas semua penduduk serta mengawal pergerakan dan penularan jangkitan dalam komuniti,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Baca artikel berkaitan: PKPD empat Felda tamat hari ini, lebih awal daripada jadual
Sementara itu, Ismail Sabri turut memberitahu, PKP di Nabawan, Sabah yang dijadualkan tamat esok akan dilanjutkan selama 14 hari lagi sehingga 30 Mac depan.
Katanya, ia selepas masih terdapat baki 872 sampel saringan yang belum mendapat keputusan.
Beliau berkata, sehingga kini, KKM telah melaksanakan 3,079 ujian saringan dan daripada jumlah itu secara kumulatif sebanyak 279 kes telah direkodkan.
“Kerajaan sebelum ini telah melaksanakan PKP di daerah Nabawan, Sabah yang dijadualkan tamat pada 16 Mac 2021.
“Setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat KKM, kerajaan bersetuju untuk melanjutkan PKP di daerah Nabawan, Sabah selama 14 hari lagi bermula 17 Mac hingga 30 Mac 2021,” jelas beliau.
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

