17 Mac 2021, genap setahun penutupan sempadan Malaysia-Singapura. 2020 tahun yang cukup sukar, rakyat Malaysia diselubungi pelbagai rasa dan emosi yang menggugat jiwa.
Luahan isi hati lelaki ini cukup memilukan, 12 malam, genap setahun lalu, warga Malaysia yang mencari rezeki di Singapura terpaksa meninggalkan keluarga dek keterpaksaan apabila laluan ke luar negara ditutup sepenuhnya.
Jelas Shahruddin Haeal Helmy bin Mohd Noh, kenangan pahit ini kekal terpahat dalam memori tatkala Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin membuat pengumuman tergempar.
Dia hanya mampu membawa keperluan selama dua minggu seiring dengan arahan kerajaan, namun daripada dua minggu membawa ke bulan, dari bulan membawa ke tahun.
Lebih memilukan, harapan untuk pulang meraikan bulan Ramadan dan Aidilfitir terkubur kerana sempadan masih ditutup buat warga Malaysia pulang. Malah luahnya kepada UtusanTV, anak-anaknya yang masih kecil tidak kenal bapa mereka dek kerana terlalu lama tidak bersua.
Ikuti luahannya.

“Malam ni pukul 12 malam iaitu 17/03/2021.
“Genap setahun kami kelam kabut sebelum penutupan sempadan Malaysia-Singapura pada 18/03/2020.(Total Lockdown)
“Kenangan paling pahit buat kami semua pekerja Malaysia di Singapura ni. Kenangan ni akan kekal terpahat didalam diri kami seumur hidup.
“Masih segar di ingatan saya bagaimana ketika Perdana Menteri kita Tan Sri Muhyiddin Yassin membuat pengumuman akan menutup sempadan untuk tempoh 2 minggu. Kami semua bergegas pulang dari tempat kerja di Singapura ke Malaysia untuk mengambil segala pakaian yg perlu untuk di bawa semula ke Singapura. Saya juga tak dapat berkata apa².

“Hanya pesanan melalui whatsapp dapat saya kirimkan kepada isteri. Supaya menyediakan segala keperluan yg patot untuk saya tinggal di Singapura dalam tempoh 2 minggu.
“Petang tu lagi sekali saya call HR untuk bertanyakan tentang penginapan kami sepanjang di Singapura nanti. Alhamdulillah, mereka dah uruskan semua penginapan kami dan kami hanya perlu masuk semula ke Singapura sebelum Jam 12 malam nanti.
“Setibanya di rumah petang tu. Tanpa berlengah² saya terus mandi dan bersiap² untuk ke rumah mak mertua dan mak saya untuk berjumpa mereka. Saya maklumkan kepada emak saya yang saya terpaksa tidur di Singapura untuk tempoh 2 minggu. Dan malam tu saya tiada pilihan lain selain masuk ke Singapura dan terpaksa tinggalkan isteri & anak².
“Seperti biasa, malam sebelum pergi tu saya pun bersalaman dengan emak saya. Tapi reaksi emak saya sedih sangat. Saat saya peluk dan cium emak saya. Saya lihat air mata dia deras mengalir dari pipi dia.
“Saya pun berkata. “Emak jangan lah sedih .Orang pergi hanya dua minggu. Nanti orang akan balik jugak.”
“Emak tak rasa kau pergi 2 minggu. Hati mak kuat cakap virus ni akan membuatkan kita berpisah lebih lama. Mak dah tua, mak takot kau tak sempat balik tengok mak nanti.”
“Mendengar kata² mak saya .Sayu sekejap hati ni. Berlinang air dalam kelopak mata saya. Tapi saya cuba sedapkan hati emak saya. “Mak janganlah cakap yg bukan² ye. InshaAllah, 2 minggu je ni. Nanti lepas 2 minggu orang balik lah.”
“Baiklah nak, ingat pesan mak. Sejauh mana pun kita pergi. Jangan tingggalkan solat.”
“Saya hanya menganggukkan kepala tanda faham. Saya pun terus bersalaman dengan isteri dan anak² pulak dan sempat memberi sedikit pesanan. Supaya menjaga anak² sebaik mungkin. Dan jangan lupa mendidik mereka didikan agama.

“Dan bermulalah perjalanan saya ke Singapura bersama kawan² saya yg lain. Kami tiba di Park Hotel Alexandra jam 11.30 malam. Segala penginapan kami syarikat kami yg tanggung ketika itu.
“Bermulalah kehidupan baru kami di negara orang. Walaupun kami dah lama bekerja di Singapura. Tapi kami belum pernah tinggal didalam Singapura. Sebab selama ini kami akan ulang alik setiap hari selepas habis tugas.
“Dari 2 minggu. Berlarutan ke sebulan. Kemudian disambung ke 2 bulan. Dalam tak sedar kami dah berpuasa dan harapan untuk pulang berhari raya di kampung masa tu semuanya musnah.
“Buat kali pertama kami terpaksa beraya di negara orang. Bila dengar takbir raya masa tu dia punya sedih jangan cakap. Dah la tak boleh keluar bilik hotel. Hanya boleh ulang alik ke tempat kerja dan bilik sebab masatu Singapura pun masih Circuit Breaker.
“Dengar lagu raya pun boleh berlinang air mata. Perasaan masa tu jangan cakaplah. Memang sedih, pasrah, kecewa dan bermacam² lagi. Kali pertama nak beraya bersama anak² tapi tak dapat. Baju raya dah beli dari tahun lepas sampai sekarang masih tak dapat pakai.
“Setiap kali pengumuman dibuat oleh Perdana Menteri Malaysia atau Singapura. Mesti kami akan dengar sampai habis. Berharap sangat akan terbukanya sempadan Malaysia-Singapura ni. Dari sehari ke sehari. Masa silih berganti.
“Dari Hari Raya Puasa sehinggalah ke Hari Raya Haji. Berganti hari Natal dan Sambutan raya Cina. Kami masih disini. Harapan hanya tinggal harapan. Dari Company sediakan hotel sehinggalah semuanya kami terpaksa tanggung sendiri.
“Benarlah apa yg mak saya katakan. Virus ni bukan 2 minggu. Dan betullah setiap gerak hati seorang ibu ni. Naluri mereka selalunya tepat. Rindu yg teramat sangat dah ni.Bulan depan dah nak puasa dan berkemungkinan besar kami harus beraya disini buat kali kedua.
“Maafkan Daddy sayang. Mungkin Allah lahirkan kamu berdua disaat Covid19 ni supaya kamu berdua dapat teman Mommy kamu disana. Supaya Mommy kamu tak sunyi dengan keletah kamu yg kian bijak.

“1 perkara yg saya dapat belajar dari peristiwa ni. Jangan pernah mengeluh dengan setiap apa yg terjadi. Pasti ada hikmah disebalik kejadian ni. Sentiasa bersangka baik dengan aturan Allah. Kerana dia yg lebih tahu segala isi yg tersirat di langit dan dibumi.
“Sekurang²nya. Saya dah dapat pulang sekali di bawah skim PCA. Tetapi itupun masih tak mencukupi. Anak² kalau saya video call semua tak layan saya & sekarang dah mula rindu balik.
“Bagaimanalah rasanya sahabat² saya yg langsung belum pernah balik sejak 17 March 2020. Hati mereka lebih kental dari saya.
“Saya berdoa dan berharap dengan adanya Vaksin ni. Dapatlah memberi harapan untuk kami ulang alik seperti dulu. Atau sekurang²nya kurangkan kos kuarantin agar kami dapat balik ke Malaysia di bawah skim PCA lagi.
“Rindu yg tak tertanggung.”
Sumber : Eddie Dienna
Foto : Wei Ern