SELEBRITI dan usahawan terkenal, Neelofa sah bergelar isteri kepada pelakon dan pendakwah bebas, Muhammad Haris Mohd Ismail atau PU Riz dengan sekali lafaz tepat pukul 11.43 pagi di sebuah hotel terkemuka di ibu negara, hari ini.
Memetik Astro Awani, pasangan itu dinikahkan oleh adik kandung, Neelofa iaitu Mohd Aqief Mohd Noor.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri memberikan khutbah dan tazkirah ringkas pada hari bahagia pasangan itu.Neelofa atau nama sebenarnya Noor Neelofa Mohd Noor, 32 menerima mas kahwin berupa sebentuk cincin daripada pihak Harris.

Menurut hos Next To Neelofa itu, untuk hantaran, Haris,26, hanya memberi yang wajib sahaja.
“Kami hanya memberi yang wajib,bagaimanapun untuk mas kahwin saya telah menerima sebentuk cincin daripada pihak lelaki,” kata Neelofa dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurut Neelofa, tahun 2019 menjadi titik permulaan perkenalan mereka sehingga nekad untuk mengikat janji sehidup semati.
“Sejujurnya, saya mula mengenali Haris pada tahun 2017. Sekitar Jun kalau tak salah. Kemudian pada 2018, saya bekerjasama buat kali yang pertama dengannya dalam satu projek. Selepas kolaborasi itu, kami tidak berhubung sehinggalah setahun kemudian.
“Dari titik pertemuan semula itu, kami mula mengenali hati budi masing-masing. Dia adalah seorang yang sangat baik, lemah lembut dan matang. Apabila berbual dengannya, kita boleh bincangkan banyak hal dan ia membuatkan saya berasa selesa.Â
“Dia juga seorang pendengar yang baik dan sentiasa cuba membantu memberi solusi jika saya menghadapi sebarang kesukaran atau masalah,” katanya.
Majlis pernikahan itu diadakan secara tertutup di Hotel Grand Hyatt, di ibu negara dan dihadiri ahli keluarga terdekat serta beberapa rakan selebriti yang lain.
Antara yang hadir adalah ahli keluarga Neelofa iaitu Datuk Halim Khan dan Datin Noor Kartini serta ahli keluarga Haris iaitu Datuk Seri Ismail Nobat dan Datin Seri Normah Johari.
Neelofa memilih busana rekaan Alia Bastamam untuk majlis akad nikahnya itu.Â
Haris serta tetamu turut mengenakan pakaian rona putih sempena majlis pernikahan yang berlangsung dalam sebuah dewan yang indah dihiasi bunga segar putih.
Sebelum ini, Neelofa dan Haris telah selamat mengikat tali pertunangan pada 1 November 2020.

