Pas kukuhkan kerjasama dengan Bersatu, apa nasib Muafakat Nasional?

0
357
Muhyiddin Yassin bersama Abdul Hadi Awang ketika menghadiri sidang Parlimen. (GAMBAR FAIL)


Ketika Pas menerima asakan daripada UMNO yang mahukan parti dipimpin oleh Datuk Seri Abdul Hadi Awang itu membuat ketetapan mengenai hubungan dalam Muafakat Nasional (MN), Pas hari ini mencapai kesepakatan dengan Bersatu bagi mengukuhkan kerjasama dalam Perikatan Nasional (PN) bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Pendirian Pas itu sekaligus menimbulkan persoalan mengenai kedudukan kerjasama dengan UMNO melalui MN.

Dalam kenyataan bersama hari ini, Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainuddin dan Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hasan berkata, kepemimpinan tertinggi Bersatu diketuai Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang telah merangka halatuju kerjasama lebih mantap dan berstrategi dalam PN.

Berikut petikan kenyataan mereka;

Menginsafi pentingnya kestabilan politik sebagai teras kelangsungan Kerajaan Perikatan Nasional dalam membela kebaijakn rakyat dan terutamanya buat masa ini bagi menangani wabak Covid-19, kepimpinan tertinggi Bersatu dan Pas telah bersetuju dengan ketetapan asas seperti berikut;

*Bersatu dan Pas akan terus mengukuhkan kerjasama dalam Perikatan Nasional bagi menghadapi PRU-15.

*Bersatu dan Pas selaku antara parti pengasas utama Perikatan Nasional akan menubuhkan Jawatankuasa Permesyuaratan di peringkat pusat bagi merangka strategi dan halatuju parti khusus bagi menghadapi PRU-15, termasuk rundingan pengagihan kerusi.

Segala keputusan yang dicapai akan dibawa ke Mesyuarat Majlis Tertinggi Perikatan Nasional untuk dimuktamadkan secara kolektif dalam kalangan semua parti-parti komponen.

*Bersatu dan Pas bertegas menolak sebarang bentuk ‘penjajaran baharu’ untuk menubuhkan kerajaan pasca-PRU terutama yang melibatkan PH dan sekutunya,

*Bersatu dan Pas sentiasa komited untuk mengukuhkan penyatuan ummah da perpaduan seluruh masyarakat majmuk, bersedia bekerjasama dengan mana-mana pihak yang mendokong konsepb tersebut, sekaligus menolak sebarang usaha untuk merungkaikan perpaduan sedia terjalin dan sebarang percubaan menggugat kerajaan Perikatan Nasional yang dibina secara bersama.

Bersatu dan Pas menyeru semua pertubuhan dan persatuan Melayu, Islam dan bumiputera terutamanya dan rakyat Malaysia yang cintakan negara agar bersatu hati untuk bersama-sama berjuang dalam saf yang sama demi masa depan Malaysia yang lebih gemilang.