M-WEZ bakal lonjak ekonomi Melaka, jana RM100b pelaburan

Afiq Mohd. Shah
Afiq Mohd. Shah
Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016. Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

Dari Penulis

PEMBANGUNAN koridor ekonomi berimpak tinggi, Zon Ekonomi Pesisir Pantai Melaka (M-WEZ) mampu melonjakkan pertumbuhan ekonomi di samping mengubah corak ekonomi negeri bersejarah itu sejajar dengan era digital serta teknologi hijau.

Pada masa sama, M-WEZ yang membabitkan kawasan seluas 10,117 hektar sepanjang 33 kilometer dari Sungai Udang di utara hingga Umbai di bahagian selatan dilihat mampu menjana sehingga RM100 bilion pelaburan baharu dalam tempoh 15 tahun.

Bukan itu sahaja, Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali turut memberi jaminan bahawa pembangunan koridor ekonomi itu juga mampu mewujudkan 20,000 peluang pekerjaan baharu setiap tahun.

Kata Sulaiman, M-WEZ merupakan tonggak utama dalam Pelan Strategik Melakaku Jaya 2035 yang menjadi hala tuju dan wawasan negeri tersebut sebagai negeri maju serta lestari dalam tempoh 15 tahun akan datang.

Matlamat kewujudan koridor tersebut, jelas Sulaiman adalah untuk mencipta pembangunan mapan dan berdaya maju di samping menarik pelaburan domestik serta asing dalam revolusi industri 4.0 (IR 4.0) menggunakan teknologi hijau dan pintar.

Beliau berkata, pembangunan M-WEZ juga mampu menyumbang kira-kira RM3 hingga RM4 bilion ringgit atau lima peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tahunan negeri berkenaan.

“Pelancaran M-WEZ ini umpama menyempurnakan kepingan jigsaw pembangunan koridor ekonomi seluruh negara kerana sehingga kini, Melaka adalah satu-satunya negeri yang tidak mempunyai koridor pertumbuhan.

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali (tengah) tertarik melihat replika Kapal Harbour Tug yang dipamerkan selepas hadir ke Majlis Perasmian Melaka Waterfront Economic Zone (M-WEZ) di Kuala Lumpur, hari ini. GAMBAR: Abd Razak Aid

“Kami yakin M-WEZ akan menjadi enjin pertumbuhan baharu sekali gus game changer dan pemboleh ubah ekonomi yang mencipta peluang pekerjaan serta perniagaan dan meningkatkan pendapatan Melaka,” katanya dalam majlis pelancaran M-WEZ yang diadakan di Kuala Lumpur, hari ini.

Baca artikel berkaitan: Beratus duit siling, tembikar dari zaman Kesultanan Melayu, Dinasti Ming ditemui di Melaka

Turut hadir, Speaker Dewan Undangan Negeri Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh dan Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka, Datuk Seri Dr. Hasim Hasan.

Majlis tersebut turut dihadiri 300 tetamu termasuk tokoh korporat, pelabur dan duta-duta negara asing.

Mengulas lanjut, Sulaiman berkata, M-WEZ menampilkan tawaran unik mengandungi lima zon utama iaitu Melaka Harbourfront, Nukleus Logistik Pintar, Perbandaran Satelit Digital, Taman Perniagaan Eko Central dan Nukleus Perbandaran Baharu Perdagangan yang mempunyai komponen tersediri dengan fungsi saling melengkapi.

Katanya, apabila siap kelak, Melaka Harbourfront dijangka mempunyai pelabuhan, pusat perdagangan dan loji hidro, hab kontena dan kargo serta zon perindustrian bebas.

Nukleus Logistik Pintar pula kata Sulaiman akan mempunyai hab logistik, pejabat pengurusan kontena dan kargo, institusi dan kemudahan masyarakat serta kawasan rekreasi komersial.

“Bagi zon Perbandaran Satelit Digital dan Taman Perniagaan Eko Central pula akan dibangunkan Menara M-WEZ, hotel, pejabat, perumahan dan penginapan di mana Pulau Upeh akan dijadikan pulau peranginan yang mengandungi jeti marina, zon perdagangan bebas dan Kompleks Kuarantin, Kastam dan Imigresen (CIQ).

“Nukleus Perbandaran Baharu Perdagangan pula dijangka dilengkapi sebahagian lagi hab pembangunan bercampur, aktiviti maritim, pusat pembangunan dan penyelidikan, perkhidmatan perpindahan kapal ke kapal (STS) dan gudang penyimpanan biodiesel,” jelas beliau.

Sulaiman berkata, apa yang ditawarkan M-WEZ adalah sangat unik terutama dalam aktiviti maritim mengambil kira kedudukan geografi Melaka yang berada di tengah-tengah antara Kuala Lumpur dan Singapura.

Selain itu, kata Sulaiman, pelabuhan baharu yang akan dibina di kawasan koridor itu juga dijangka akan menarik perhatian syarikat perdagangan untuk dijadikan pusat perhentian memandangkan kedalaman Selat Melaka yang mampu ‘melayani’ kehadiran kapal dagang pada bila-bila masa.

“Sudah tentu fasiliti yang akan ditawarkan di pelabuhan baharu itu nanti akan berbeza dengan pelabuhan sedia ada di Malaysia kerana akan menjadi gaya baharu bagi pelabuhan dan aktiviti maritim.

“Kami juga tidak bersaing dengan pelabuhan sedia ada di Malaysia tetapi melengkapinya kerana kami melihat ruang dalam pasaran yang dilihat semakin membangun ini,” katanya.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Berkaitan

Sultan Selangor hargai kesinambungan pentadbiran jayakan LRT3

SULTAN Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, menegaskan kejayaan merealisasikan projek Laluan LRT3 Shah Alam adalah hasil kesinambungan perancangan serta...

More Articles Like This