TINDAKAN Datuk Seri Sulaiman Md Ali meletakkan jawatan sebagai Ketua Menteri Melaka adalah disebabkan masalah kesihatan.
Perkara itu dimaklumkan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi seperti dilaporkan BH Online, hari ini.
Pada masa sama, Ahmad Zahid mengesahkan bahawa UMNO sudah pun mencadangkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Bidara, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh sebagai Ketua Menteri Melaka yang baharu.
Menurut Ahmad Zahid, UMNO sudah pun mengutuskan warkah kepada Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Rustam berhubung peletakan jawatan Sulaiman.
Menerusi warkah sama, Timbalan Perdana Menteri itu berkata, UMNO juga telah mencadangkan nama Rauf untuk mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri.
“Saya sudah mengutuskan warkah kepada TYT Melaka untuk menerima peletakan jawatan Ketua Menteri (Sulaiman) dan dengan ini parti mencadangkan melalui warkah itu Datuk Seri Rauf sebagai Ketua Menteri yang baharu,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mempengerusikan Majlis Pembangunan Usahawan dan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) Kebangsaan (MPUPK), di Bangunan Parlimen, hari ini.
Baca artikel berkaitan: Ahmad Zahid sahkan Sulaiman letak jawatan Ketua Menteri
Semalam, Ahmad Zahid mengesahkan telah pun menerima surat peletakan jawatan Sulaiman selaku Ketua Menteri Melaka.
Ahmad Zahid berkata, Sulaiman yang juga ADUN Lendu telah menyerahkan surat peletakan jawatan itu semasa pertemuan di Parlimen semalam.
Desas-desus pertukaran Ketua Menteri Melaka bukanlah perkara baharu, sebaliknya telah pun berlarutan sejak Barisan Nasional (BN) menang besar pada Pilihan Raya Negeri (PRN) pada bulan November 2021.
Sumber dalaman UMNO Melaka memaklumkan, istiadat mengangkat sumpah jawatan dan sumpah simpan rahsia oleh Ab Rauf sebagai Ketua Menteri Melaka Ke-14 dijangka berlangsung Jumaat ini.
Sulaiman mula menjawat jawatan Ketua Menteri Melaka ke-12 pada 9 Mac 2020 sehingga pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi memberi laluan kepada PRN Melaka pada November 2021.
Beliau kemudiannya dilantik semula sebagai Ketua Menteri Melaka ke-13 selepas BN berjaya mencapai kemenangan dua pertiga dalam PRN Melaka.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

