“Sebenarnya saya belum memeluk Islam lagi, saya sedang menunggu HIDAYAH”

0
127
menunggu hidayah tiba

Di dalam satu seminar, kelihatan seorang pembentang berbangsa India begitu lantang bercerita tentang keindahan Islam. Bukan setakat bercerita bagaimana cantiknya Islam mengatur kehidupan manusia, tetapi lebih dari itu, pembentang turut memperincikannya dengan menyertakan sekali, terjemahan dari surah-surah al-Quran sebagai rujukan.

Peserta begitu teruja mendengar setiap patah perkataan yang keluar dari mulutnya. Isi yang menarik dengan fakta yang padat, serta diselang selikan dengan lawak jenaka sesungguhnya menghiburkan.

Setiap persoalan dirungkaikan mengikut syariat Islam, menonjolkan lagi sisi ketinggian ilmunya memahami intipati Islam.

Diakhir pembentangan, dibuka slot pertanyaan bagi peserta bertanya kemusykilan mereka. Berdiri seorang pemuda untuk bertanya soalan,

maaf Prof. sudah berapa lama anda memeluk agama Islam?” jawab pembentang tersebut, “sebenarnya saya belum memeluk Islam lagi, saya sedang menunggu hidayah.” Begitulah jawapan yang keluar dari mulutnya.

Itulah serba sedikit pengalaman yang dilalui penulis ketika menghadiri satu seminar baru-baru ini.

Fahami bagaimana konsep hidayah

Timbul persoalan di benak fikiran, bagaimana yang dikatakan dengan hidayah? Adakah ia sesuatu petanda yang datang secara tiba-tiba, seperti bermimpi seorang lelaki berjubah putih?

Atau sememangnya ia berlegar di sekeliling tetapi gagal ditemui? Jadi bagaimana untuk mengetahui samada seseorang itu telah menerima hidayah atau tidak.

Memahami secara mendalam tentang hidayah, menurut Firdaus Wong Wai Hung salah seorang pendakwah bebas yang sudah 7 tahun memeluk Islam menyatakan, sebelum memahami konsep hidayah, perlu kita faham dahulu, apakah perbezaan antara agama Islam dengan agama yang lain.

Menurutnya, Islam adalah satu agama, atau pegangan yang menyeru manusia untuk mentauhidkan Allah. Ini bermakna Islam menyuruh manusia untuk menerima Allah sebagai tuhan yang Esa, serta menyembahnya dengan sepenuh hati dan jiwa.

Tetapi bagi agama lain, mereka disuruh untuk mensyirikkan Allah. Bermakna mereka hendaklah beriman atau menyembah sesuatu selain dari Allah.

Justifikasi ini menjelaskan tentang apa itu Islam yang sebenar-benarnya, iaitu bukan hanya sekadar sebutan yang dieja dengan perkataan Islam sahaja, atau menyatakan bahawa saya adalah Islam. Tetapi ia menjurus tentang perlakuan beriman kepada Allah dengan sebenar-benar iman, dan hanya menyembah kepada Allah S.W.T. sahaja. Itulah sebenar-benarnya konsep Islam.

Hidayah ada dalam diri setiap muslim, namun taufik belum tentu

Sekiranya mereka faham akan konsep ini, maka mereka dapat menerima Islam secara menyeluruh. Dan di situlah Allah S.W.T. akan menyuntikkan hidayah kepada mereka, atas usaha mereka memahami agama Islam.

Terangnya, berbalik kepada isu di mana seseorang yang belum memeluk Islam menyatakan bahawa, mereka belum lagi dikurniakan hidayah. Sebenarnya mereka tidak langsung memahami apa yang dikatakan sebagai hidayah itu.

Adapun setiap orang yang mengaku beriman, sememangnya mereka sudah sedia ada mempunyai hidayah dalam diri.

Ini berdasarkan kepada firman Allah dalam surah al-Qasas ayat 56 bermaksud,

Sesungguhnya engkau (Muhammad) tidak dapat memberi petunjuk kepada orang yang engkau kasihi, tetapi Allah memberi petunjuk kepada orang yang Dia kehendaki, dan Dia lebih mengetahui orang yang mahu menerima petunjuk.” 

Beza hidayah dan taufik

Bagi orang bukan Islam, mereka sememangnya tidak memiliki hidayah, kerana mereka masih belum lagi memeluk Islam. Sebaliknya bagi orang Islam, mereka telah pun mempunyai hidayah dalam diri.

Cuma untuk melakukan kebaikan mereka belum mendapat taufik, sebagaimana yang biasa disebutkan iaitu taufik dan hidayah.

Maka di sini apa perbezaan keduanya? Hidayah adalah sebagai panduan atau jalan menerima Islam. Manakala taufik pula adalah satu petunjuk bagi kita untuk melakukan kebaikan setelah menerima Islam.

Anologi yang dapat diberikan di sini adalah mengapa kita perlu mendirikan solat?

Allah S.W.T. menyuruh kita untuk mendirikan solat kerana itu merupakan satu wasilah dalam mengingati Pencipta. Oleh yang demikian, apabila kita melazimi solat, maka kita secara langsung sentiasa mengingatinya.

Dengan mengingatinya sahaja, barulah Allah akan memberikan taufik dan tauhid kepada kita kerana secara jelas kita ingin menerima petunjuk.

Dan kerana itulah, dalam surah al-Fatihah, kita sentiasa membaca “Ihdinassirotol Mustaqim (tunjukkan kami jalan yang lurus / yang Engkau redai)” ianya merupakan satu permintaan untuk kita terus melakukan kebaikan.

Dengan keikhlasan kita mendirikan solat maka ia mendorong kita untuk terus melakukan kebaikan. Bahkan taufik dan tauhid juga turut diberikan kepada mereka yang berusaha.

Ada juga yang mengatakan, solat atau tidak sama sahaja. Ramai yang bersolat tetapi masih lagi melakukan kemungkaran dan perkara-perkara maksiat. Jadi adakah kita boleh katakan mereka tidak menerima hidayah?

Sekiranya inilah yang diperkatakan, sebenarnya orang yang bersolat ini menilai solat sebagai suatu perkara yang zahir sahaja. Bagi mereka solat hanya seperti satu senaman tubuh bagi menghindarkan sebarang penyakit luaran bukan dalaman.

Sedangkan solat yang sebenarnya adalah merangkumi kekusyukkan, dan keikhlasan hati untuk menyembah dan mengingati Allah.

Tuntasnya lagi, kerana itu juga, kita dapat melihat bagaimana sesetengah umat Islam tetap juga mendirikan solat, tetapi laju seperti klia ekspress. Hanya cukup sekadar solat sahaja bagi mereka.

Dek kerana itulah Allah S.W.T. tidak memasukkan dalam hatinya sebutir iman sekalipun, apatah lagi taufik untuk mereka berterusan melakukan kebaikan, meskipun mereka tidak pernah meninggalkan solat.

Oleh itu, apabila ada yang mengatakan bahawa mereka belum lagi menerima hidayah, maka secara signifikannya mereka tergolong dalam kalangan bukan Islam. Ini kerana orang Islam sememangnya telah ada hidayah dalam diri mereka.

Justifikasinya, apabila ada orang Islam yang mengatakan bahawa mereka belum lagi menerima hidayah, maka secara sedar atau tidak mereka sebenarnya bukan Islam.

Dan hidayah itu hanya diberikan kepada orang yang beriman atau yang ingin menerima petunjuk. Inilah yang sebenar-benarnya dikatakan sebagai konsep hidayah, jelasnya.

_____________________________

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram