rezeki kurang sebab merungut

Hari ini masyarakat Islam kita dilihat tewas dalam mendasari syariat Islam yang sebenar. Mereka tidak berpegang kepada al-Quran dan sunnah secara komprehensif sehingga gagal juga untuk menghayati konsep Islam. Secara tidak langsung mereka juga gagal menjadi role model kepada masyarakat yang lain.

Banyak contoh yang boleh kita lihat terutama dalam soal untung nasib dan rezeki. Ada orang yang dilimpahkan rezekinya dalam bentuk kekayaan berupa harta kemewahan. Ada yang ditinggikan darjat dengan jawatan atau keilmuwan. Dan ada yang punya keluarga besar dan sebagainya.

Itu semua adalah rezeki yang telah cantik disusun Allah S.W.T. Mudah kata sesiapa sahaja yang dikurniakan rezeki ini dan itu, banyak atau sedikit juga telah ditetapkan Allah S.W.T.

Seumpama satu bentuk pelaburan, sebanyak mana kita memberi (bersedekah), maka lebih banyak lagi pulangan yang kita terima dari Allah. Akan tetapi jika sebaliknya, sudah pasti kuranglah juga rezeki yang kita peroleh. Itu formula yang mudah untuk kita gunapakai dalam kehidupan seharian.

Jaga mulut, jangat banyak merungut

Justeru jangan ditanya, dipersoal dan dirungutkan andai rezeki yang kita peroleh kurang memuaskan hati atau nasib malang menimpa. Ia tidak lain berbalik kepada usaha dan amalan kita kepada Allah S.W.T. Tanya iman kita, sebanyak mana yang kita usahakan untuk meraih cinta Allah.

Namun begitu, masalah terbesar dalam diri masyarakat kini adalah tidak mahu bersyukur tetapi hanya terus merungut dan merungut

Sedangkan dalam Islam terdapat tiga aspek yang perlu kita tekankan dalam hidup iaitu pertama syukur. Ia baja dalam diri yang akan menyuburkan aspek kedua iaitu sifat sabar.

Sabar ini sangat penting kerana dalam al-Quran terlalu banyak firman Allah yang menyeru hamba Nya agar bersabar.

Manakala aspek ketiga adalah menjalin silaturrahim. Ia mempereratkan hubungan kita dengan yang lain kerana untuk meraih cinta Allah perlu didasari juga dengan cinta sesama makhluk.

Sering bersangka buruk

Lemahnya manusia ini apabila mudah bersangka buruk dengan Allah. Sedangkan ujian itu adalah perkara yang harus dilalui oleh setiap manusia ketika di dunia. Itulah takdir yang ditetapkan, tidak lain menguji tahap keimanan hamba Nya.

Lazimnya orang yang merungut ini sebenarnya adalah mereka yang sudah terbiasa hidup dalam persekitaran kesenangan, dimanja dengan kemewahan, kesihatan dan pelbagai lagi nikmat.

Lalu apabila Allah menarik sedikit nikmat kesenangan itu, atau Allah datangkan sedikit ujian, maka mulalah mereka hilang pertimbangan dan lupa diri sehingga mencela dan merungut seolah tidak reda dengan qada dan qadar Allah. 

Allah sempitkan rezeki kerana banyak merungut

Contoh mudah apabila kita diserang sakit. Kita boleh pilih samada untuk sembuh atau untuk merana. Orang yang ingin sembuh dari penyakit, mereka akan berfikiran positif, menerima dengan reda dan berusaha ke arah penyembuhan dengan menjalani pelbagai rawatan. Dia juga yakin satu masa nanti pasti Allah akan memulihkan penyakitnya.

Sebaliknya orang yang ingin merana, mereka akan hanya merungut, mengeluh dan berfikir tentang zalimnya Allah tanpa berbuat apa-apa. Tumpuan fikiran mereka tidak lain bersangka buruk dengan qada dan qadar Allah.

Itu yang mendekatkan mereka dengan kekufuran dan kebinasaan. Jadi pilihan di tangan kita samada untuk berbuat sesuatu yang positif atau hanya merungut tanpa ada usaha.   

Apa yang kita bicarakan ini tidak lain tentang kerja dunia dan pencen akhirat. Dunia adalah tempat untuk kita bekerja meraih sebanyak mungkin ganjaran pahala dan reda Allah. Itu tidak lain semata-mata untuk dijadikan bekalan ketika menghadap Allah di akhirat nanti. Itulah tugas hakiki manusia di dunia ini.

Lupa tugas hakiki

Oleh itu apabila hati tidak timbul rasa syukur atau cukup, pastinya hati ini akan memberontak dan mendengar bisikan syaitan yang mula menyebarkan racun-racun fitnahnya. Tatkala racun itu mula memberi kesan, saat itulah juga manusia akan mula lupa tugas hakiki mereka hingga perasaan mereka membuak-buak ingin memenuhi kehendak dunia.

tugas kita sebagai hamba adalah beriman kepada Allah dan terima qada dan qadar.

Mereka akan terlalu mengejar keduniaan sedangkan prinsipnya, apabila dunia dikejar, akhirat akan melarikan diri. Sebaliknya jika akhirat yang dikejar sudah pasti dunia akan mengikuti.

Hanya samada yakin atau tidak sahaja kerana keyakinan ini sukar untuk dibentuk melainkan perlu dipupuk secara perlahan-lahan melalui pendidikan asas. Sedangkan didikan ke arah ini agak kritikal dalam masyarakat disebabkan keluarga tidak memainkan peranan.

Seharusnya merekalah yang perlu menjadi ejen paling ideal untuk membentuk manusia dan generasi akan datang memenuhi kriteria sebagai muslim.

_____________________________

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram