siti sarah

PELIK tetapi benar! Itulah pengalaman yang dilalui buat Shuib Sepahtu apabila ibunya turut mengalami alahan teruk di saat isterinya yang juga penyanyi, Siti Sarah sedang berbadan dua.

Menurut Shuib, ibunya mengalami muntah-muntah selain tidak mempunyai selera makan selama sebulan gara-gara menantunya itu hamil anak keempat.

“Saya dapat panggilan telefon daripada ibu saya, dia mengadu lemah badan serta tak lalu makan sebab kerap muntah-muntah seperti orang sedang mengandung.

“Ibu memberitahu saya dengan nada marah supaya jangan menyusahkan dia. Paling melucukan apabila ibu pergi ke klinik dan doktor telah memberikan dia alat ujian kehamilan!

“Ibu saya naik angin dan memarahi doktor kerana dia sudah berusia 57 tahun dan menopos, tak mungkinlah dia mengandung!

“Tapi mujurlah ia berlaku sewaktu awal kehamilan Sarah sahaja dan tidak berlarutan lama. Alhamdulillah, ibu saya sudah kembali pulih dan sihat,” katanya kepada URTV.

Shuib berkongsi kisah melucukan itu ketika ditemui pada majlis berbuka puasa Indigital Music di 10grams, Puchong, Selangor, baru-baru ini.

Sementara itu, Sarah tidak menyangka alahan disebabkan kehamilan yang pernah dilalui ketika mengandung tiga orang anaknya sebelum ini turut ‘berjangkit’ dengan ibu mentuanya.

“Dulu memang saya sukar nak makan sebab alami alahan yang agak teruk. Asal makan sahaja, mesti akan muntah. Saya hanya boleh makan buah oren sahaja.

“Pengalaman itu juga sebenarnya turut dirasai oleh ibu mentua sebab dia beritahu hanya boleh makan buah oren sahaja selama dia tak ada selera makan baru-baru ini.

“Tapi kini semuanya sudah kembali normal…walaupun masih ada alahan, tapi sekurang-kurangnya saya masih larat untuk keluar bekerja dan bergerak aktif,” ujarnya.

ARTIKEL BERKAITAN: Siti Sarah & Shuib bakal dapat anak keempat

Pasangan ini mendirikan rumah tangga pada 2011 dan hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan tiga orang cahaya mata iaitu Uwais Alqarni,10, Dzahira Talita Zahra,8 dan Ariq Matin,6 tahun.