“Kesempatan berkhidmat sebagai Pengerusi Kumpulan Permodalan Nasional Berhad (PNB) selama tiga tahun ini ialah satu penghormatan buat saya.”
Penghargaan itu diberikan Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz dalam kenyataan selepas disahkan bakal mengosongkan jawatan sebagai Pengerusi PNB pada 30 April ini.
Menurut Zeti, PNB telah melaksanakan agenda transformasi organisasi dalam tempoh yang mungkin paling mencabar dan transformatif pernah dialami sepanjang tiga tahun beliau memegang tampuk kepemimpinan di syarikat berkenaan.
“Hari ini, agenda transformasi ini telah mendorong potensi peningkatan prestasi dan inovasi yang lebih besar serta kecekapan lebih tinggi.
“PNB kini berada dalam kedudukan teguh untuk melakukan yang lebih baik lagi pada masa depan dan meraih penciptaan nilai jangka panjang yang disasarkan demi para pemegang unit kami,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Baca artikel berkaitan: Zeti letak jawatan Pengerusi Kumpulan PNB 30 April
Dalam kenyataan sama, PNB mengumumkan bahawa Zeti telah secara rasmi menulis surat kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Pengerusi Yayasan Pelaburan Bumiputra (YPB) bagi menyatakan hasrat beliau untuk tidak memperbaharui tempoh jawatan sebagai Pengerusi Kumpulan pada 30 April ini.
Katanya, pelantikan Pengerusi Kumpulan baharu akan diputuskan YPB dalam masa terdekat.
Menurut PNB, Zeti telah memacu perjalanan transformasi PNB sejak pelantikan beliau sebagai Pengerusi Kumpulan pada tahun 2018 yang telah menyaksikan institusi berkenaan mencapai kemajuan besar dalam tiga bidang utama.
Kemajuan besar itu, kata PNB merangkumi usaha kepelbagaian ke dalam kelas aset dan pasaran global yang lebih luas menyaksikan pendedahan PNB dalam aset antarabangsa meningkat kepada 12.3 peratus pada akhir tahun 2020 sekali gus mengukuhkan portfolio pelaburan PNB.
“Kedua, PNB juga telah berjaya mengukuhkan peratusan pegangan tunai yang tinggi hasil daripada pengurusan pendedahan risiko pertukaran asing lebih besar.
“Akhir sekali, PNB telah memulakan transformasi organisasi di seluruh kumpulan yang telah menghasilkan inovasi digital, kecekapan operasi dan pengembangan bakat menerusi pelbagai inisiatif,” katanya.
Sementara itu, Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Ahmad Zulqarnain Onn turut menzahirkan penghargaan kepada Zeti atas kepimpinan yang berwawasan dan sumbangan tidak ternilai sepanjang tempoh tiga tahun.
“Beliau membawa bersamanya hampir empat dekad pengalaman dalam perkhidmatan awam dan pengukuhan institusi yang telah memberi banyak manfaat kepada PNB,” jelas beliau.
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

