KETUA Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah menyifatkan penularan COVID-19 di negara ini kembali meruncing dan memerlukan setiap individu terus patuh kepada prosedur operasi standard (SOP).

Menerusi ciapan di Twitter beliau berkata orang ramai perlu kembali kepada amalan 3C iaitu jauhi kawasan yang sesak (crowded place), elakkan kawasan yang sempit (confined space) dan elak bersembang pada jarak dekat (close conversation).
“Manakala amalan 3W – kerap mencuci tangan dengan air dan sabun (wash), memakai pelitup muka di tempat awam (wear) dan peringatan KKM (warn) seperti elak bersalaman dan rawatan segera jika bergejala,” katanya.
Noor Hisham menerusi ciapan berasingan pula memaklumkan kes baru positif Covid-19 hari ini mencatatkan 2,881 kes berbanding 3,788 kes semalam.
Katanya Selangor kekal merekodkan jumlah kes tertinggi iaitu 759 kes diikuti Sarawak (445) dan Kelantan (442). Perlis pula menjadi negeri tunggal tanpa jangkitan hari ini.

COVID-19: 1 Mei 2021
Jumlah kes sembuh: 2,462
Jumlah kumulatif: 380,442 (92.4%)
Jumlah kes baru: 2,881
Jumlah kumulatif: 411,594
Jumlah kes aktif: 29,631
Kes local: 2,865 (2,609 warganegara (WN), 256 bukan warganegara (BWN))
Kes import: 16 (5 WN, 11 BWN)
Jumlah kematian:15 WN
Jumlah kumulatif: 1,521(0.37%)
Jumlah kes di ICU:337
Pesakit Intubated:176


