SELEPAS membuat kenyataan mengejutkan mengenai campur tangan politik dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan dibidas kerana hanya mendedahkannya di hari-hari terakhir perkhidmatan, Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador menyatakan beliau mempunyai sebab tersendiri mengapa berbuat demikian.
Bagaimanapun tegasnya, beliau masih mempunyai harga diri dan menafikan yang akan mendiamkan diri mengenai perkara tersebut jika kontrak perkhidmatannya disambung lagi.
Abdul Hamid menegaskan dia bukan seperti haiwan “pemakan bangkai”.
“Saya bukan biawak yang makan bangkai. Saya masih ada maruah diri,” katanya kepada Malaysiakini apabila diminta mengulas mengenai perkara tersebut.
Abdul Hamid akan bersara secara rasmi pada Isnin ini dan tempatnya akan digantikan Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani.
Dalam sidang media semalam, beliau secara terbuka mendedahkan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin campur tangan dalam pelantikan pegawai polis dan meminta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat amalan melompat parti yang mempunyai unsur rasuah.
BERITA BERKAITAN IGP ulas lompat parti, SPP dan audio Hamzah Zainudin
Abdul Hamid juga membidas yang menteri sepatutnya hanya terlibat dalam penggubalan dasar dan tidak harus terbabit dalam mengatur pelantikan pegawai kanan pasukan polis.
Berikutan itu, Ketua Bersatu Kepong Norizan Ali hari ini mengeluarkan kenyataan yang mempersoalkan mengenai perkara tersebut dengan berkata jika benar dakwaan campur tangan itu berlaku sejak hari pertama Hamzah dilantik sebagai menteri dalam negeri, mengapa selama ini Abdul Hamid hanya berdiam diri.
Untuk rekod Hamzah merupakan ahli parlimen UMNO yang melompat menyertai Bersatu selepas BN dikalahkan Pakatan Harapan (PH) dalam pilihan raya umum lalu.
Dalam reaksinya hari ini Abdul Hamid juga menasihatkan agar pihak yang tidak senang dengan kenyataan dibuatnya mengenai campur tangan politik dalam PDRM agar lebih berhati-hati.
“Bagitau dia, jangan buat dosa kering!” katanya.
Menjawab persoalan mengapa kenyataan sebegitu tidak dibuat lebih awal, bekas pengarah Cawangan Khas Bukit Aman itu menjelaskan selama ini dia sibuk mengejar masa untuk membetulkan kepincangan dalaman PDRM.
“Hanya akhir-akhir ini, iaitu semakin hampir tarikh tamat kontrak perkhidmatan saya – semakin ketara campurtangan menteri untuk mengatur ‘budak-budak kita’ bagi mengisi jawatan2 penting,” katanya.
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

