PERNAH mengalami keadaan kenderaan tiba-tiba rosak dan terpaksa berhenti di tepi jalan atau kereta tidak dapat dihidupkan ketika hendak pergi bekerja?
Selain pilihan mendapatkan perkhidmatan tarik kereta untuk dibawa ke bengkel, anda juga sebenarnya boleh mendapatkan mekanik bergerak untuk datang membantu membaiki kenderaan di tempat tersebut.
Sebelum ini, mungkin kita akan memanggil mekanik yang dikenali sahaja tetapi kadang kala mereka juga agak sibuk di bengkel masing-masing untuk datang membantu.

Sehubungan itu, khidmat mekanik bergerak dikenali sebagai POMEN Riders diperkenalkan yang mana pengguna boleh memilih untuk mendapatkan khidmat mekanik secara dalam talian dengan hanya menggunakan aplikasi di telefon bimbit.
Penyedia perkhidmatan itu, POMEN Autodata Sdn Bhd (POMEN) hari ini mengumumkan Program POMEN Rider yang setakat ini telah mempunyai seramai 48 orang mekanik mendaftar untuk memberi perkhidmatan di sekitar Lembah Klang, Seremban dan Ipoh.
Sebagai nilai tambahan program, POMEN juga bekerjasama dengan PETRONAS yang memungkinkan POMEN Riders mendapatkan stok pelincir (minyak enjin PETRONAS Syntium) di mana-mana stesen PETRONAS Mesra di seluruh negara.
Mereka tidak perlu membawa wang tunai, iaitu membeli dengan hanya menggunakan kad PETRONAS SMARTPay yang akan diberikan kepada peserta program.
Kerjasama POMEN dan PETRONAS membolehkan pengguna menikmati kemudahan servis kereta mereka dengan kadar upah yang berpatutan dan mendapat kepastian produk pelincir asli yang terbaik.
Ketua Pegawai Eksekutif & Pengasas POMEN, Syed Zulhilmi Tuan Sharif berkata, kini terdapat permintaan tinggi untuk golongan mekanik sebagai sumber tenaga mahir, dan pemilik kenderaan pasti ingin memesan mekanik menggunakan aplikasi yang boleh dipercayai.
“Dengan pengalaman kami mengurus Aplikasi POMEN, kami berharap dapat menyemarakkan pasaran yang lebih telus yang seterusnya mewujudkan keyakinan pengguna dan membuka lebih banyak peluang untuk mekanik gig,” katanya.
POMEN adalah platform penyelenggaraan automotif terkemuka Malaysia yang menghubungkan pemandu dengan bengkel yang berdekatan, semuanya hanya dengan satu klik butang dalam satu Aplikasi.
Syed Zulhilmi berkata, perkembangan terbaru ini dijangkakan akan dapat mencapai sasaran sekurang-kurangnya 5,000 mekanik yang berjaya mendaftar sebagai POMEN Rider dalam masa lima tahun dari sekarang.
Katanya, sebahagian dari program onboarding adalah melalui kolaborasi dengan Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) melalui program Mobilepreneurs yang dilancarkan pada tahun 2016.
Para Mobilepreneurs dilengkapi dengan motosikal dan toolbox yang diletakkan di belakang dan bersedia memberikan khidmat apabila diperlukan pengguna.
Aplikasi POMEN boleh dimuat turun secara percuma di platform Google Play Store atau Apple App Store atau boleh diakses terus di https://download.pomenapp.com.
Untuk menjadi mekanik bergerak yang menyertai program POMEN Rider, kunjungi: www.pomenapp.com

