Orang ramai perlu mematuhi prosedur opeasi standard (SOP) dengan mengimbas aplikasi mySejahtera sebelum masuk untuk membeli belah bagi keperluan Hari Raya di Bazar Aidilfitri Kuala Lumpur @ Jalan Tuanku Abdul Rahman. GAMBAR: Abd Razak Aid


Saudara Pengarang,

Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penting untuk lindungi nyawa dan ia berpandukan data sistem amaran awal – Hotspots Identification For Dynamic Engagement (HIDE).

Melalui sistem ini, kegiatan ekonomi diteruskan. Kedai-kedai dibuka. Orang berniaga boleh terus berniaga. Yang bekerja pun tidak disekat.

Tapi kalau data HIDE menunjukkan mana-mana premis dikunjungi oleh ramai mereka yang positif Covid-19, premis-premis ini akan ditutup sementara untuk tujuan sanitasi dan swab test pekerja.

Premis akan dibuka semula setelah pihak pengurusan mengambil langkah-langkah crowd control yang lebih berkesan.

Inilah sistem yang dibangunkan oleh kerajaan setelah lebih setahun kita belajar daripada pengurusan pandemik. Asasnya ialah untuk lindungi nyawa dan kehidupan. Kita guna pendekatan yang lebih bersasar. Sebab itu PKP 2.0 ini berbeza dengan PKP 1.0 dahulu. Pendekatan berbeza.

PKP tidak dibenarkan rentas daerah untuk tujuan selain daripada bekerja. Ini untuk pastikan orang ramai kurangkan pergerakan. Kurangkan majlis-majlis sosial dan keraian. Lebih-lebih lagi ketika musim perayaan.

Kita tidak mahu ulangi apa yang terjadi kepada India. Ini langkah kerajaan untuk lindungi nyawa rakyat.

Data HIDE diperolehi menerusi aplikasi MySejahtera. Kita boleh tahu premis mana dikunjungi oleh orang yang Covid positif. Ada senarai premis-premis yang dikenalpasti sebagai hotspot.

Senarai premis-premis hotspot ini akan diberikan kepada pihak penguat kuasa untuk arahan penutupan sementara. Ia juga akan dihebah kepada umum. Transparent. Lebih telus.

Ini menjadikan orang ramai lebih peka terhadap tempat-tempat yang mereka perlu elak.
Data ini juga digunakan oleh kerajaan untuk membatalkan beberapa acara yang telah dikenalpasti. Kerana itu kenduri tidak dibenarkan.

Ini bukan bertujuan untuk menyusahkan orang hendak melangsungkan perkahwinan. Tapi data menunjukkan banyak kluster dalam komuniti yang berpunca daripada majlis-majlis perkahwinan, majlis pertunangan, majlis pengebumian dan lain-lain.

LINDUNGI KITA.LINDUNGI SEMUA.

HERMAN
Sungai Buloh