MALAYSIA merekodkan kemasukan sebanyak 506 kes berkaitan Covid-19 ke Unit Rawatan Rapi (ICU), iaitu jumlah yang tertinggi semenjak pandemik ini bermula, manakala 295 kes memerlukan bantuan alat pernafasan.
Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, setakat 7 Mei, kemasukan kes kritikal ke ICU meningkat sebanyak 44 peratus berbanding tempoh dua minggu yang lepas di seluruh negara. (LIHAT CARTA)

Daripada jumlah itu katanya 295 kes kini memerlukan bantuan alat pernafasan dan ia juga suatu jumlah paling ramai direkodkan setakat ini.
Angka yang dicatatkan itu katanya membabitkan kes yang sudah disahkan positif, disyaki dan berkemungkinan positif.
Beliau berkata, beberapa negeri seperti Selangor, Kuala Lumpur, Kelantan dan Sarawak menunjukkan kadar peningkatan yang lebih tinggi.
“Bilangan kes harian juga masih tinggi dan belum menunjukkan sebarang penurunan dalam jangka masa terdekat,” katanya dalam kenyataan di media sosial.
“Sebanyak 22 hospital Covid-19 mencatatkan kadar penggunaan katil ICU melebihi 70 peratus malah ada yang mencecah lebih 90 peratus.
Hospital bukan Covid-19 juga terpaksa merawat pesakit Covid-19 yang memerlukan bantuan alat pernafasan kerana pesakit ini tidak dapat dipindahkan ke hospital Covid-19 akibat kesesakan wad ICU.
“Ada juga pesakit yang terpaksa diberi bantuan alat pernafasan di wad-wad biasa,” katanya.
Menurut Noor Hisham ketika musim perayaan menjelang dan liputan vaksinasi yang belum meluas serta kepadatan penduduk di sesetengah kawasan, ada kemungkinan hospital akan terus berdepan dengan peningkatan kes Covid-19, khususnya pesakit dengan gejala serius melibatkan golongan rentan seperti warga emas dan mereka yang memang ada masalah kesihatan.
“Bilangan kes harian juga masih tinggi dan belum menunjukkan sebarang penurunan dalam jangka masa terdekat. Pada hari ini sahaja, negara mencatat 4,498 kes baru.
“Justeru saya menyeru orang ramai untuk terus mematuhi SOP dan daftar segera sebagai penerima vaksin,” katanya.


