Balogun jadi wira, AS mula langkah kanan

Dari Penulis

TUAN rumah bersama Piala Dunia 2026, Amerika Syarikat (AS) memulakan kempen bagi edisi temasya bola sepak terbesar dunia itu dengan langkah kanan selepas menewaskan Paraguay 4-1, sebentar tadi.

Kemenangan itu juga menjadi sejarah baharu bagi pasukan bola sepak AS apabila pertama kali menjaringkan lebih tiga gol dalam perlawanan di Piala Dunia.

Bekas pemain remaja Arsenal, Folarin Balogun menjadi wira buat pasukan Uncle Sam itu selepas berjaya meledak dua gol.

Dalam aksi pertama Kumpulan D di Stadium Los Angeles, anak buah Mauricio Pochettino menampilkan aksi bertenaga dengan menguasai sebahagian besar perlawanan.

Prestasi bergaya ditonjolkan USMNT itu dimulakan dengan jaringan sendiri pertahanan Paraguay, Damian Bobadilla yang tertolak bola ke gawang sendiri hasil gerakan bintang AC Milan, Christian Pulisic seawal minit ketujuh.

Gandingan Pulisic bersama bek kiri, Antonee Robinson sering kali mengucar-kacirkan barisan pertahanan Paraguay.

Hasilnya, Balogun yang kini bersama pasukan AS Monaco menyumbat gol kedua buat AS hasil umpanan Pulisic pada minit ke-31.

Balogun sekali lagi menjadi duri dalam daging buat Paraguay apabila berjaya menyempurnakan hantaran lolos Malik Tillman sebaik sebelum wisel penamat separuh masa pertama dibunyikan.

Berada 3-0 di hadapan pada separuh masa pertama, AS meredakan sedikit tekanan dengan lebih banyak berada di kawasan sendiri pada awal separuh masa kedua.

Kealpaan barisan pertahanan AS kemudiannya berjaya dihukum pemain tengah Paraguay, Mauricio yang bijak meloloskan diri daripada perangkap offsaid pada minit ke-73.

Walaupun Paraguay meningkatkan tempo permainan di samping serangan bertali arus, namun gawang AS yang dikawal Matt Freese tidak berjaya lagi dibolosi.

Ketika perlawanan hampir tiba ke penghujung, pemain tengah AS, Giovanni Reyna yang baru dimasukkan kira-kira 10 minit sebelum itu melenyapkan sisa-sisa perjuangan Paraguay apabila meledak gol keempat buat AS.

Anak kepada legenda AS iaitu Claudio Reyna itu menggembirakan rakyat Uncle Sam dengan rembatan cantik menewaskan Orlando Gill di gawang Paraguay.

AS akan menentang Australia dalam perlawanan kedua di Lumen Field, Seattle manakala Paraguay berdepan misi sukar dijadual bertemu Turkiye di Levi’s Stadium, Santa Clara pada 19 Jun depan.


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Berkaitan

Kerajaan lanjut perjanjian cari MH370 setahun lagi, kekal konsep ‘no find, no fee’

JEMAAH Menteri bersetuju melanjutkan perjanjian antara Kerajaan Malaysia dengan syarikat Ocean Infinity bagi meneruskan usaha pencarian bangkai pesawat Malaysia...

More Articles Like This