Pelarian Rohingya mesti patuh undang-undang atau berdepan tindakan – PM

Dari Penulis

SEMUA pelarian Rohingya yang berada di negara ini perlu sentiasa mematuhi undang-undang dan peraturan tempatan atau bakal berdepan dengan tindakan tegas.

Perkara itu dinyatakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Al-Hidayah, Sentul, hari ini.

Menurut Perdana Menteri, isu melibatkan pelarian Rohingya itu turut dibincangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri, pagi tadi.

Beliau berkata, golongan tersebut tetap tertakluk kepada sistem perundangan negara walaupun Malaysia mengambil pendekatan berperikemanusiaan.

Katanya, ia termasuk dalam aspek penggunaan premis bangunan dan pengendalian perniagaan.

“Nasihat kepada rakyat Myanmar khususnya Rohingya, mereka juga harus patuh kepada peraturan yang ada dalam negara kita.

“Bangunannya, perniagaannya, mesti mengikut peraturan…dan kalau tidak ikut, kita terpaksa ambil tindakan,” katanya.

Mengulas lanjut, Perdana Menteri memaklumkan, isu penguatkuasaan terhadap pelarian Rohingya dibincangkan bersama Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail bagi memastikan tindakan perundangan digerakkan secara konsisten.

Selain itu, beliau mengingatkan pihak berkuasa perbandaran dan kerajaan negeri supaya memainkan peranan lebih tegas dalam memantau sebarang salah laku atau salah guna premis melibatkan golongan berkenaan.

Mengulas desakan supaya pelarian Rohingya dihantar pulang ke negara asal, Anwar menjelaskan ia adalah kemelut kemanusiaan yang kompleks memandangkan proses penghantaran balik mahupun penempatan ke negara ketiga masih menemui jalan buntu.

“Orang boleh bicara hantar pulang, hantar pulang ke mana? Sebab kita ada masalah dengan kerajaan Myanmar yang menghalang. Jadi, dalam rundingan saya dua kali dengan pimpinan Myanmar, saya minta dua perkara.

“Pertama, bantuan yang kita beri itu dijamin dapat (memberi) manfaat kepada semua (dan) ini dipersetujui. Kedua, hentikan penindasan dan jenayah ke atas rakyat Myanmar, Muslim mahupun bukan Islam di Rakhine dan juga di Myanmar seluruhnya,” katanya.

Sementara itu, beliau mengingatkan rakyat Malaysia supaya mengekalkan nilai kemanusiaan dan tidak mengambil tindakan sendiri, sebaliknya menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk menangani isu tersebut.

“Saya harap rakyat kita, terutama masyarakat Islam yang membantah, harus dijaga kemanusiaan kita dan janganlah melanggar peraturan dan undang-undang dalam menangani masalah ini,” katanya.


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Dua remaja ditahan langgar anggota polis, cuba lari sekatan jalan

DUA remaja ditahan selepas dipercayai merempuh seorang anggota polis ketika cuba melarikan diri daripada sekatan jalan di Taman Panchor...

More Articles Like This