PENULARAN pandemik COVID-19 sejak setahun lalu sememangnya telah memberi kesan besar kepada kehidupan setiap orang dari segi fizikal atau mental.
‘Cerita’ orang berbeza-beza. Ada yang dihimpit tekanan demi mencari sesuap nasi untuk keluarga dan ada juga berusaha untuk bangkit kembali mengatur hidup.
Ada juga yang tidak berputus asa terpaksa berjuang secara berseorangan bagi memastikan survival diri sentiasa terbela.
Itu yang berlaku kepada seorang lelaki yang dipercayai tinggal di dalam kereta sejak beberapa hari lalu di kawasan Denai Alam, Shah Alam.
Lelaki berusia 52 tahun itu dipercayai berasal dari Kedah dan masih bujang berhijrah ke Selangor untuk mencari pekerjaan.

Namun begitu, buat masa ini dia masih belum memperoleh pekerjaan menyebabkannya tiada punca pendapatan sekali gus terpaksa meminta sedekah di kawasan tersebut.
Sebelum menjadikan kawasan tepi jalan sebagai ‘rumahnya’, difahamkan lelaki itu tidur di kawasan rehat dan rawat (R&R) tetapi terpaksa keluar kerana ditutup.
Kesukaran yang dihadapinya mendapat perhatian Skuad Saidina Umar Lembaga Zakat Selangor (LZS) selepas menerima aduan orang ramai.
Dalam hantaran di Facebook LZS, Skuad Saidina Umar berjaya menjejaki lelaki tersebut dan mendaftarkannya sebagai asnaf fakir dengan bantuan kewangan bulanan akan mula disalurkan bulan ini.
Pihak LZS juga cuba mendapatkan rumah sewa tetapi lelaki tersebut memohon diberi sedikit masa supaya dia dapat mencari bilik atau rumah sewanya sendiri.

