SULTAN Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menyeru rakyat agar memahami dan menghayati inti pati khutbah Jumaat yang disampaikan oleh khatib di masjid-masjid seluruh Selangor hari ini.
Mimbar Jumaat membicarakan khutbah yang bertajuk ‘Tunaikan zakat kepada amil bertauliah’.
Baginda senada dengan inti pati khutbah susulan isu yang hangat diperkatakan mutakhir ini berkaitan dengan zakat.
Baginda bertitah semua mengambil iktibar dan menginsafi bahawa zakat merupakan ibadah yang melibatkan harta serta mempunyai peranan besar dalam membantu golongan asnaf dan memakmurkan ekonomi umat Islam.
Baginda menggesa agar semua umat Islam memahami kepentingan menunaikan zakat melalui saluran sah dan pengagihan secara telus kepada golongan asnaf yang berhak menerimanya.
“Di negeri Selangor, Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dengan perkenan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor mewakilkan Lembaga Zakat Selangor (LZS) untuk menguruskan semua yang berkaitan dengan kutipan dan agihan zakat.
“Setiap negeri mempunyai sistem pungutan dan agihan tersendiri bagi memastikan kebajikan asnaf diurus dengan teratur.
“Oleh itu, mana-mana pihak dari luar tidak sepatutnya melangkaui sempadan negeri untuk membuat kutipan zakat tanpa kebenaran pihak berkuasa mana-mana negeri lain,” titah baginda menerusi hantaran di Facebook Selangor Royal Office, hari ini.
Sultan Sharafuddin mengingatkan sekali lagi bahawa zakat yang dikutip dalam sebuah negeri hendaklah diagihkan kepada asnaf dalam negeri tersebut.
“Baginda mengingatkan juga bahawa sebagai umat Islam, kita mempunyai peranan yang besar untuk mempertahankan hak asnaf daripada “dicuri” oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.
“Jangan berdiam diri dan menyembunyikan perkara salah yang berlaku, bimbang kita tergolong dalam golongan yang membantu kemungkaran kerana menzalimi dan menafikan hak asnaf.
“Umat Islam perlu memahami bahawa bukan sahaja zakat, bahkan apa-apa bentuk kutipan dana awam yang melibatkan kepentingan umat Islam di Negeri Selangor hendaklah mendapat kebenaran daripada pihak berautoriti,” titah baginda.

Penulis merupakan wartawan di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 18 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2022, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak/penyiaran/portal lain sejak tahun 2008.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama (perkembangan semasa/politik/sukan).

