ain
AIN HUSNIZA

PIHAK sekolah menghantar surat amaran kepada pelajar tingkatan lima, Ain Husniza Saiful Nizam yang dia boleh dibuang sekolah kerana tidak hadir ke sekolah melebihi tiga hari.

Ain Husniza yang menimbulkan kontroversi kerana mendedahkan mengenai seorang guru lelaki yang membuat jenaka mengenai rogol itu menyatakan mengenai perkara tersebut dalam akaun Twitternya.

Pelajar yang menggunakan pengenalan @ant33ater dalam Twitter berkata dia berasa kecewa kerana pihak sekolah bertindak demikian hanya kerana dia tampil bersuara.

Bapa kepada pelajar itu, Saiful Nizam Ab Wahab pula berkata, pihaknya menerima surat bertarikh 28 April itu yang memaklumkan tindakan itu boleh diambul jika anaknya masih tidak hadir atau gagal memberi sebab-sebab mengenai ketidakhadirannya.

Memetik laporan Malaysiakini, Saiful menyatakan dia sudah memberitahu pengetua sekolah bahawa Ain Husniza merasa tidak selamat jika dia hadir ke sekolah.

BERITA BERKAITAN Lawak rogol: “Kementerian pandang serius, tiada toleransi” – Menteri

“Pada 28 April lalu, saya ke sekolah untuk berbincang. Ia turut dihadiri oleh pengetua, guru Hal Ehwal Murid, guru kelas Ain, Yang di-Pertua PIBG.

“Tidak ada langsung disebutkan tentang ketidakhadiran Ain ke sekolah untuk tiga hari tersebut. Lagi pun Ain memang berasa tidak selamat memandangkan guru PJK berkenaan masih bertugas seperti biasa di sekolah.

“Pada 4 Mei, surat amaran pertama diterima melalui Poslaju yang menyatakan Ain sudah ponteng tiga hari dan boleh dibuang sekolah,” katanya ketika dihubungi portal tersebut.

Saiful mendakwa perkara ini berlaku kerana tiada sebarang tindakan yang diambil terhadap guru yang membuat ancaman rogol terhadapnya selepas dia mendedahkan isu mengenai jenaka rogol itu.

Bagaimanapun Ain belum dibuang sekolah seperti mana yang dilaporkan oleh portal berita lain pagi ini.

Saiful Nizam juga melahirkan rasa kecewa terhadap perkara itu, dan mengatakan bahawa dia akan meminta penjelasan daripada pihak sekolah.

“Sangat tidak adil dan ya, saya akan minta penjelasan pihak sekolah,” katanya lagi.

Pada 24 April lalu, Ain mendedahkan mengenai jenaka rogol oleh guru tersebut dan perkara itu dalam sebuah video di platform media sosial Tiktok, yang kemudiannya diciap di Twitter.

Isu tersebut menimbulkan kemarahan banyak pihak di negara ini, termasuk gesaan untuk mengambil tindakan terhadap guru tersebut dalam penambahbaikan sistem pendidikan.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram