Ada sebab kenapa umat Islam hari ini semakin lemah. Ini amaran Baginda s.a.w.

0
121
umat islam semakin lemah

Pesan Imam al-Ghazali perut hendaklah dipelihara dari memakan yang haram dan yang syubhah (tidak jelas antara yang halal dan haram). Ini kerana makanan yang kita makan akan menjadi darah daging. Rasulullah s.a.w  bersabda,

Setiap daging yang tumbuh dari makanan yang haram maka neraka adalah lebih utama untuknya”

Rasulullah s.a.w turut bersabda lagi,

Ibadat dan ilmu yang disertai dengan memakan rezeki yang haram seperti membina rumah di atas himpunan najis”

Berpandu pada hadis ini, pendapat ulama dan nas menjelaskan bahawa akhlak ada kaitannya dengan makanan. Jika kita membaca sejarah para ulama pun ditekankan tentang makanan halal.

Contohnya Imam Bukhari. Bapa beliau pernah menceritakan dia tidak pernah memberi anaknya makan dan pakai dari sumber yang haram. Sebab itulah Imam Bukhari boleh menghafaz 100 ribu hadis sahih dan 200 ribu hadis tidak sahih.

Malah Yahudi dan Kristian juga ada yang lebih memahami agama berbanding orang Islam. Mereka faham betapa pentingnya makanan di dalam kehidupan.

Jika kita lihat hari ini, selain isu yang mengatakan umat Islam menghidapi pelbagai jenis penyakit kronik, terdapat isu lain yang mana melibatkan lebih satu juta umat Islam telah menjadi penagih dadah. Lebih teruk lagi setiap 17 minit terdapat satu kelahiran luar nikah.

Bahkan hari ini juga kita lihat berlaku banyak kepincangan dalam keluarga. Anak-anak yang dididik sedari kecil dengan pendidikan serta asuhan Islam hingga peringkat tinggi juga didapati melakukan banyak jenayah.

Selain faktor pelbagai, ia juga ada kaitannya dengan makanan. Kerana makanan itu pembentuk sahsiah insan. Seperti yang disebut di dalam hadis, Rasulullah s.a.w. bersabda,

Bahawasanya tidaklah diterima ibadatnya seseorang yang memakan barang yang haram. Baginda menambah, banyak orang yang berusaha sekuat tenaga untuk beribadat kepada Allah S.W.T. lalu mengangkat kedua-dua tangannya seraya memohon,

“Ya! Allah, Ya Allah! Ku mohon pada mu terimalah ibadah ku.” Tapi, jika makanannya haram, minumannya juga haram, pakaiannya pun haram bagaimana mungkin doa mereka itu akan dimakbulkan?” (HR Muslim & Tirmidzi).

Kemudian ada satu lagi hadis yang menyebut perkara yang hampir sama.

Suatu hari Sa’ad bin Abi Waqqas meminta Rasulullah s.a.w. untuk mendoakannya supaya doa yang dia dikabulkan Allah S.W.T. Maka Rasulullah bersabda kepadanya,

Wahai Sa’ad! jika kamu makan dari yang  halal dan toyyib, Allah akan menjawab semua permohonan mu. Rasulullah s.a.w. kemudian menambah, “Aku bersumpah demi Allah yang nyawa ku dalam genggamannya jika seseorang makan sedikit saja dari yang haram tidak sedikit ibadatnya diterima Allah S.W.T. selama 40 hari. Bilamana daging yang membentuk tubuh seseorang tersebut dari unsur yang haram maka hanya api neraka sajalah yang patut bagi tubuhnya.” HR at-Thabrani

Pengaruh makanan pada tubuh

Tidak dapat dinafikan lagi, makanan mempunyai pengaruh besar terhadap pertumbuhan dan kesihatan jasmani serta rohani. Disebabkan makanan yang kita makan maka doa ibu bapa, guru dan anak-anak tidak makbul.

Anak-anak yang belajar agama hanya cemerlang dari segi teori agamanya tetapi dari segi penghayatan dan roh agamanya sudah tidak ada. Sebab itulah sekarang ini asas agama tidak melekat sedikit pun di dalam hati anak-anak kerana makanan kita tidak jaga dengan sebaiknya.

Semua itu berpunca dari makanan, sebab itulah ulama dahulu sangat menitik beratkan tentang makanan. Di dalam surah Al-Mu’minun ayat 51,

Wahai Rasul-rasul, makanlah dari benda-benda yang baik lagi halal dan kerjakanlah amal-amal soleh, sesungguhnya Aku maha mengetahui akan apa yang kamu kerjakan

Di dalam surah Al-Maa’idah: 88 juga disebutkan tentang makanan halal lagi baik, firman Allah yang bermaksud,

Dan makanlah dari rezeki yang telah diberikan Allah kepada kamu iaitu yang halal lagi baik, dan bertakwalah kepada Allah yang kepada Nya saja kamu beriman”

Oleh itu jagalah pemakanan kita dan elakkan dari makanan yang haram dan syubhah untuk membentuk peribadi mulia. Bukan sahaja pada diri kita, malah terhadap anak dan generasi kita. Wallahu a’lam

______________________________

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram