OLEH: KAMAL SHUKRI ABDULLAH SANI
DALAM seminggu dua ini begitu heboh mengenai garis panduan tentang bagaimana warga Islam di Malaysia merentas semua bangsa harus “beradab” semasa “meraikan” atau menghadiri upacara atau majlis perayaan undangan daripada sahabat, organisasi atau mereka yang bukan beragama Islam, misalnya perayaan bersifat ritual agama, kematian, perkahwinan dan lain-lain.
Banyak yang telah memberi pandangan, malah turut menggali fatwa terdahulu oleh mufti-mufti negeri dan pandangan pemimpin politik.
Pandangan mufti pastinya merujuk keterangan bersumber sahih daripada hadis dan al-Quran manakala pemimpin politik umumnya berdasarkan pandangan logiknya dan tidak mustahil terkait dengan kepentingan politiknya.
Malah Perdana Menteri pun telah memberi pandangannya bahawa garis panduan itu tidak perlu dengan alasan semua orang Islam pasti tahu dan faham akan garis panduan tentang itu. Cumanya, betulkah semua orang Islam tahu dan faham?
Ibadah puasa saban tahun tiba. Menjelang awal Mac nanti umat Islam akan berpuasa lagi pada tahun ini.
Seperti biasa saban tahun dalam ruang kemusykilan agama dalam media, akhbar, radio dan tv kerap juga soalan yang sama ditanya seperti perkara-perkara yang membatalkan puasa, yang makruh, sunat dan lain-lain seolah-olah si penanya baru kali pertama berpuasa.
Justeru kurang tepat rasanya jika hal yang lebih berat, abstrak, berkaitan dengan akidah pula, semua orang Islam di Malaysia dianggap fasih tentang hal ini.
Lagipun amat jarang dibicarakan tentang hal berkaitan perkara yang boleh membatalkan aqidah ketimbang yang membatal sembahyang, puasa, haji dan lain-lain.
Malah hal ini hampir tidak disentuh dengan terperinci walaupun dalam pelajaran agama di sekolah.
Bertambah pelik lagi mereka yang bukan Islam khususnya ahli politik DAP dan lain-lain yang lebih sudu daripada kuah.
Mereka bukan sahaja memberi pandangan malah membantah keras seolah-olah mereka pakar dalam hal-ehwal agama Islam, hafal hadis dan al-Quran melebihi para mufti dan kelihatan cuba mengambil tugas mufti atau raja-raja untuk menjaga urusan agama Islam dan orang Islam.
Walau apa pun jawatan politik anda, tiada “locus standi” untuk anda mencampuri hal urusan berkaitan dengan agama Islam dan segala peraturannya.
Jika dibiarkan dibimbangi anda akan melakukan yang lebih teruk lagi.
Perbuatan anda itu seolah-olah cuba menunjukkan kepakaran dalam hukum-hakam agama Islam. Ini jelas menampakkan sikap biadap, menghina dan sebenarnya menyerlahkan lagi akan kejahilan mereka tentang agama Islam.
Semoga Duli-duli Yang Mulia dan Perdana Menteri dapat memberi amaran segera atau nasihat tegas kepada semua pemimpin politik tersebut demi maruah Islam sebagai agama Persekutuan negara ini.
Selama ini tidak pernah pun orang Melayu, Islam bersikap biadap atau cuba mencampuri, mengatur sesuatu berkaitan hal-ehwal agama lain dan penganut agama lain.
Baca artikel lain: Sultan Selangor tak setuju garis panduan kepada umat Islam, cadangan dibuat pada waktu tak sesuai
Orang Islam amat jelas dengan firman Tuhan yang membawa maksud, “bagiku agamaku, dan bagi kamu agama kamu” dan tiadalah paksaan dalam Islam. Tetapi jelas telah berkali-kali pemimpin politik bukan Islam terlihat mencampuri, membantah hal berkaitan agama Islam seperti undang-undang, larangan jualan dan minuman keras yang memang dikhususkan kepada orang Islam sahaja.
Mereka seolah-olah mahu membela orang Islam yang ingkar dengan peraturan agama dan bersembunyi di sebalik kebebasan asasi manusia.
Kebebasan asasi apa namanya jika bebas itu bisa menjahanamkan diri, nyawa sendiri dan orang lain. Tegahan minum arak kerana risiko mudaratnya.
Samakah keadaannya memandu setelah meminum sebotol 2.5 liter air mineral dengan memandu setelah meminum sebotol 2.5 liter wain? Bolehlah cuba uji sendiri jika mahu.
Sedarlah kita bahawa sekadar tahu atau menghafal sepuluh, dua-puluh hadis atau ayat al-Quran atau dua, tiga buah kitab agama tidaklah menjadikan seseorang itu pakar agama Islam sama ada orang Islam, apatah lagi jika bukan Islam.
Sekadar dapat mengucapkan kata-kata seperti “assalamualaikum, alhamdulillah, hari berkat, tawaduk” dan lain-lain tidak menjadikan anda pakar undang-undang atau agama Islam.
Sekadar retorik ucapan politik pun belum tentu dapat memukau semua audien kerana ada yang menganggap bahawa anda mungkin watak dalam sebuah sinetron.
Berkaitan dengan hadis dan ayat al-Quran misalnya, kita perlu jelas tentang sejarah, latar belakang atau peristiwa diwahyukan sesuatu ayat al-Quran dan hadis. Tidak cukup dilihat secara harfiah atau menghafal matan, zahirnya sahaja.
Sesiapa sahaja boleh berusaha menghafal hadis atau al-Quran tetapi belum tentu si penghafal dapat mentafsir dan menghuraikannya dengan betul secara terperinci.
Agama Islam bukanlah tentang ibadat khusus seperti senbahyang, puasa, zakat, haji sahaja.
Agama Islam memberi petunjuk lengkap bukan sahaja tentang akhirat tetapi juga semua aspek kehidupan dunia meliputi sosial, ekonomi, politik, keselamatan, pokoknya sejak mula terjaga daripada tidur sehinggalah tidur untuk malam berikutnya.
Eloklah mereka khususnya pemimpin politik yang bukan muslim bertanya kepada saudara-mara, sahabat mereka yang telah menganut Islam, yang dapat membanding, melihat perbezaan jelas antara kedua-dua agama.
Islam sebagai “ad-din” bukan tentang ibadat khusus sahaja tetapi meliputi seluruh kehidupan, tatacara dan tatakelola hidup, hubungan antara manusia dengan Tuhan-Nya, hubungan sesama manusia dan seluruh alam.
Akidah Islam bukanlah perkara enteng untuk dperolok-olokkan. Tegasnya penganutnya wajib patuh kepada Tuhan, berbaik sesama manusia dan menghargai alam sekitar. Jelasnya perlu menuju ke arah yang terbaik dan sempurna.
Islam tidaklah memadai dengan memahami atau diamal secara sekerat-sekerat atau separuh sahaja. Jika begitulah yang berlaku, tidak mungkinlah sesiapa pun dapat menjadi Umar Abdul Aziz atau Umar Al-Khattab walaupun sekadar satu peratus.
Berbuat baik dengan pelbagai janji di mulut semasa pilihan raya mungkin senang kerana lidah tidak pernah bertulang tetapi menunaikan janji dan amanah yang dilafazkan pastinya menagih kejujuran, keikhlasan dan iltizam yang bersungguh-sungguh.
Kepada pemimpin DAP, MCA, Gerakan dan lain-lain, hormatilah agama Islam sebagai agama Persekutuan dalam amalan dan bukan sekadar menanam tebu di bibir mulut kerana pastinya telah tersirat dan tersurat perbezaan taraf agama Persekutuan yang dizahirkan dengan jelas, berbanding agama lain walaupun bebas diamalkan dan diizinkan oleh Perlembagaan.
Penulis adalah Pengerusi Biro Insan Rabbani dan Komuniti MADANI, Majlis Perundingan Melayu (MPM)
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

