Malaysia kutuk keras serangan udara Israel ke atas Gaza

0
163

PERDANA MENTERI, Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya serangan udara yang dilancarkan tentera rejim Israel di Semenanjung Gaza semalam yang telah mengakibatkan kematian dan kecederaan terhadap rakyat Palestin termasuk kanak-kanak.

Berikut kenyataan penuh Muhyiddin:

Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya serangan udara yang dilancarkan oleh tentera regim Israel di semenanjung Gaza pada 10 Mei 2021 yang telah mengakibatkan kematian dan kecederaan terhadap rakyat Palestin, termasuk kanak-kanak.

Serangan kejam, melampau dan keterlaluan oleh Israel ini secara keseluruhan dan terangterangan menyalahi undang-undang antarabangsa.

Malaysia turut mengulangi rasa kesal dengan serangan ganas dan pencerobohan berterusan tentera regim Israel terhadap rakyat Palestin dan umat Islam yang sedang beribadat di Masjid Al-Aqsa sejak 7 Mei lalu, serta pengusiran rakyat Palestin yang tinggal di kawasan Sheikh Jarrah di Baitulmaqdis Timur.

Pada hari-hari terakhir bulan suci Ramadan ini, serangan yang keji dan disasarkan terhadap saudara-saudara kita sesungguhnya amat biadab dan tidak menghormati bukan sahaja umat Islam di seluruh dunia, tetapi umat manusia secara keseluruhan.

Malaysia menuntut Israel untuk segera menghentikan kekejamannya terhadap rakyat Palestin di wilayah yang diduduki termasuk yang berada di Semenanjung Gaza.

Kekerasan secara berterusan oleh Israel terhadap rakyat Palestin, terutamanya pada bulan suci Ramadan, tidak boleh diterima sama sekali dan regim itu wajib dipertanggungjawabkan.

Masyarakat antabangsa tidak boleh menutup mata dan berdiam diri serta tidak menghiraukan kekejaman yang dilakukan oleh regim itu.

Oleh yang demikian, Malaysia menyeru masyarakat antarabangsa terutama sekali Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu supaya bertindak tegas dan mendesak Israel untuk menghentikan segera kezaliman terbaharu terhadap rakyat Palestin.

Masyarakat antarabangsa juga perlu bersama-sama menggembleng usaha bagi melindungi rakyat Palestin daripada tindakan ganas Israel.

Dalam waktu-waktu sukar ini, Malaysia akan sentiasa memberi sokongan padu dan mengukuhkan solidariti dengan rakyat Palestin.

Malaysia juga turut mengulangi pendirian menyokong penubuhan sebuah negara Palestin yang merdeka dan berdaulat menerusi penyelesaian dua negara berdasarkan garis sempadan pra-1997, dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu kota Palestin, yang merupakan satu-satunya penyelesaian terbaik dalam konflik Palestin-Israel.

TAN SRI MUHYIDDIN MOHD YASSIN
PUTRAJAYA
11 Mei 2021