Oleh: CHE MAN CHE WIL
Seminggu sebelum menjelang raya, polis mematahkan percubaan lebih 1,000 kenderaan yang mahu balik kampung ke Kelantan. Mereka diarah patah balik dalam tempoh 24 jam.
Mereka gigih memandu dari sejauh Lembah Klang, Johor dan beberapa negeri lain demi mencuba nasib untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri di kampung halaman.
Kesemuanya ‘dihalau balik’ kerana tidak mempunyai sebarang surat kebenaran daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) walaupun memberikan pelbagai alasan.
Mereka barangkali sudah berjaya menewaskan beberapa sekatan jalan raya di sepanjang perjalanan sebelum ‘tumpas’ pada tiga sekatan jalan raya di sempadan negeri Kelantan iaitu Jeli, Pasir Puteh dan Gua Musang. Syabas PDRM!
Bagaimanapun semalam dilaporkan Lebuh raya Karak terutama di Tol Bentong dan Tol Gombak menghala masuk ke ibu kota Kuala Lumpur sesak dengan kenderaan.
Suasananya tak ubah seperti warga kota kembali pulang ke ibu kota selepas habis beraya di kampung pada zaman sebelum pandemik Covid-19 melanda negara.
Suasana sedemikian menggambarkan bagaimana larangan rentas daerah dan rentas negeri yang dikuatkuasakan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan 3.0 (PKP 3.0) masih lagi boleh dilanggar.
Khabarnya ramai yang membawa surat urusan perniagaan yang dikeluarkan oleh sebuah kementerian untuk dijadikan ‘tiket’ rentas negeri. Kalau dah diangkut sekali anak bini untuk balik kampung itu bukan lagi urusan bekerja atau perniagaan tetapi sudah jelas mahu balik beraya!
Sebelum ini pun sudah kedengaran ramai yang menyalahgunakan surat tersebut bagi tujuan merentas negeri atau daerah kononnya atas urusan perniagaan tetapi sebenarnya untuk balik kampung, melancong atau melakukan aktiviti beriadah seperti memancing.
Walaupun pihak polis telah menjelaskan keadaan sebenar bahawa kebanyakan yang diperiksa mempunyai surat kebenaran rentas negeri dengan majoritinya adalah pelajar institusi pengajian tinggi yang kembali ke universiti masing-masing, tetapi tindakan balik kampung itu tetap menimbulkan kemarahan ramai.
Apa yang berlaku itu jelas membuktikan ada kalangan rakyat negara ini masih mengambil mudah tentang bahaya pandemik ini yang sudah meragut 1,902 nyawa. Kelmarin dan semalam mencatatkan jumlah kematian tertinggi dengan masing-masing 44 dan 36 orang.
Walaupun jumlah kes jangkitan positif Covid-19 naik mendadak saban hari sehingga sudah mencecah 470,000 lebih dan bilangan kematian melonjak setiap hari, perkembangan ini tidak menakutkan langsung segelintir rakyat negara ini.
Mereka mungkin sudah melihat dan mendengar cerita-cerita ngeri mangsa jangkitan Covid-19 sama ada di negara sendiri atau di seluruh dunia pada masa ini, tetapi semua cerita itu tidak memberi apa-apa kesan. Mungkin kerana belum ada anggota keluarga dan saudara mara sendiri terdekat yang terkena!
Kumpulan manusia sebegini melihat keperluan balik kampung sebagai lebih penting dan mendesak daripada kepentingan menjaga kesihatan diri dan orang awam. Walaupun mereka sedar, tindakan tersebut boleh membawa kepada risko jangkitan yang lebih meluas dan membahayakan nyawa ahli keluarga dan sanak saudara, itu tidak mengapa, itu perkara kedua!
Golongan seperti ini juga tidak ambil peduli langsung tentang kesesakan di pusat-pusat kuarantin dan rawatan berisiko rendah (PKRC) yang sedang berlaku sekarang akibat kemasukan lebih ramai pesakit Covid-19 Kategori 3.
Dengan kapasiti katil mula menunjukkan trend yang kritikal dan lebih banyak tempat-tempat awam dijadikan PKRC, keadaan ini sepatutnya dapat menyedarkan lagi rakyat tentang gelombang terbaharu pandemik ini, tetapi malangnya perkara ini tidak berlaku.
Mereka lebih berminat untuk menuntut hak beraya di kampung, hak ziarah hari raya dan rumah terbuka, hak keluar makan angin, hak berkunjung ke pusat beli-belah dan hak lepak-lepak di kafe atau restoran mamak berbanding dengan hak menjaga keselamatan kesihatan awam keseluruhan.
Perintah Kawalan Pergerakan yang dikuatkuasakan kali ini walaupun tidak seketat PKP 1.0 kerana sektor ekonomi dibenarkan beroperasi seperti biasa bukan untuk mengekang hak sesiapapun tetapi bertujuan menyelamatkan nyawa rakyat.
Kerajaan menyedari langkah ini merupakan tindakan terbaik dan paling berkesan bagi melawan pandemik ini. Bagaimanapun jihad ini tidak akan berjaya sekiranya hanya kerajaan bersendirian dalam perang ini manakala rakyat masih lagi leka berminat bercakap tentang hak itu dan hak ini ketika mana virus Covid-19 ini sudah menyesakkan seluruh salur pernafasan!
*Penulis adalah penganalisis politik.

