MUFTI Perak, Tan Sri Dr Harussani Zakaria dirawat di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh selepas disahkan positif COVID-19.
Tokoh agama terkenal itu dilaporkan dirawat di hospital itu sejak seminggu lalu.
Sebelum ini, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Titi Serong, Hasnul Zulkarnain Abd Munaim dalam satu hantaran di Facebook beliau pada 12 Mei lalu turut memaklumkan situasi Harussani.
“Saya mendapat maklumat Sahibus Samahah Tan Sri Harussani Zakaria, Mufti Perak Darul Ridzuan dan isteri beliau positif COVID-19, sedang menerima rawatan di HRPB.
“Sama-sana kita berdoa agar Allah pelihara kedua-dua insan yang kita kasihi ini,” kata wakil rakyat Bebas itu.
Sementara itu, lapor portal Harian Metro, Timbalan Mufti Perak, Datuk Zamri Hashim, ketika dihubungi mengesahkan perkara itu, selain meminta agar semua pihak mendoakan kesembuhan Harussani
“Tan Sri (Harussani) masih menerima rawatan di HRPB. Mohon doa dari semua.
“Saya hanya boleh sahkan beliau masih dirawat di HRPB. Berkenaan (dakwaan) beliau memerlukan bantuan oksigen dan sebagainya, (maka) itu perlu dirujuk kepada ahli keluarganya,” katanya kepada portal itu menerusi WhatsApp.
Baca artikel berkaitan: ICU COVID-19 di 29 hospital makin penuh, KP Kesihatan kata kita tiada pilihan lagi
Beliau berkata demikian sewaktu diminta maklum balas mengenai mesej yang viral menerusi WhatsApp berkenaan Harussani yang dijangkiti wabak itu.
Mesej itu antara lain menyatakan Harussani disahkan positif COVID-19 sejak 11 Mei lalu dan memerlukan bantuan oksigen untuk bernafas, namun dalam keadaan beliau masih sedar.
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

