SELEPAS sekali lagi mencatatkan rekod baharu jangkitan harian COVID-19 semalam, kes melibatkan pandemik itu turun sedikit hari ini.
Walau bagaimanapun, kes positif baharu masih melebihi angka 6,000 iaitu mencecah 6,509 penularan.
Jumlah yang dilaporkan juga adalah ketiga tertinggi selepas 6,976 semalam dan 6,806 jangkitan pada 20 Mei lalu.
Secara keseluruhan, sebanyak 518,600 jangkitan telah dikesan di Malaysia sejak wabak tersebut menular awal tahun lalu.
Seperti mana hari-hari sebelumnya, Selangor masih kekal menjadi negeri melaporkan kes penularan tertinggi iaitu sebanyak 2,049 kes.
Kadar yang dicatatkan hari ini bagaimanapun menurun sedikit berbanding 2,235 yang dilaporkan semalam.
Perkara itu dikongsikan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah dalam media sosialnya sebentar tadi.
Baca artikel berkaitan: Baru 3 hari, hari ini rekod lagi dengan 6,976 kes baharu
Jumlah kes COVID-19 di Malaysia kini sudah melebihi setengah juta
Sementara itu, Sarawak dan Johor turut mencatatkan penularan tertinggi hari ini iaitu masing-masing sebanyak 530 dan 468 kes.
Namun begitu, jumlah tersebut menurun sedikit berbanding 663 di Sarawak dan 549 (Johor) yang dilaporkan semalam.
Dua negeri iaitu Melaka dan Kuala Lumpur dikesan mencatatkan peningkatan hari ini dengan 329 kes telah dilaporkan setakat tengah hari tadi di Bandaraya Bersejarah manakala 447 direkodkan di ibu negara.
Antara negeri dan wilayah lain yang turut menyaksikan lonjakan kes adalah Pulau Pinang sebanyak 384 manakala Labuan kembali kepada tiga angka iaitu mencecah 171 jangkitan.
Kes dikesan di Putrajaya juga meningkat kepada 40 hari ini manakala Sabah mencatatkan 184 penularan.
Kelantan yang melaporkan kes melebihi 600 semalam bagaimanapun menurun kepada 451 hari ini, sama seperti Kedah iaitu sebanyak 348 kes berbanding 422 dikesan semalam.
Beberapa negeri lain turut menyaksikan penurunan kes hari ini termasuk Perak (231); Negeri Sembilan (329); Pahang (263) dan Terengganu (263).
Hanya Perlis satu-satunya negeri melaporkan kes sebanyak satu angka iaitu tujuh jangkitan.
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

