Nyiragongo meletus: Penduduk hilang tempat tiggal, 15 nyawa terkorban

Auzaee Athallah
Auzaee Athallah
Penulis merupakan Pengarang Multimedia/wartawan di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lima tahun dalam dunia kewartawanan. Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2023, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat penyiaran/portal lain sejak tahun 2021. Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama mahkamah, jenayah dan politik.

Dari Penulis

RIBUAN penduduk di timur Bandar Goma telah dibenarkan untuk pulang ke rumah mereka setelah kejadian Gunung Nyiragongo di Republik Demokratik Congo (DRC) meletus dan lavanya mengalir sehingga ke bandar tersebut, lewat hari Sabtu lalu.

Pihak berkuasa menyatakan lava daripada letusan gunung berapi Nyiragongo itu sampai hingga ke lapangan terbang bandar Goma yang berada di pinggir bandar ini, namun ia terhenti di pinggir kawasan lapangan terbang tersebut.

Menurut laporan BBC, kejadian itu telah mengorbankan sekurang-kurangnya 15 nyawa dan angka tersebut dijangka meningkat setelah pihak berkuasa sampai ke kawasan yang terjejas teruk.

Jurucakap kerajaan DRC, Patrick Muyaya, menyatakan bahawa sembilan daripada 15 nyawa tersebut maut di dalam kemalangan jalan raya ketika ribuan penduduk lari menyelamatkan diri.

Empat yang lain terbunuh ketika mereka cuba melepaskan diri daripada penjara, manakala dua lagi maut terbakar.

Menurut Unicef pula, lebih 170 kanak-kanak dikhuatiri hilang, manakala 150 yang lain telah terpisah daripada keluarga mereka.

Lava yang mengalir daripada letusan tersebut turut melintasi satu lebuh raya yang menghubungkan Goma ke bandar Beni yang telah menyebabkan laluan bantuan dan bekalan ke Bandar Goma terputus.

Lava terhenti berhampiran daerah Buhene, di pinggir Goma, yang mengambus ratusan rumah bahkan bangunan besar. Usaha pembinaan semula dijangka akan memakan masa berbulan-bulan.

“Semua rumah di kawasan Buhene terbakar,” kata penduduk, Bahala Shamavu kepada agensi berita Associated Press.

Beberapa gegaran dari bawah tanah turut dirasakan selepas kejadian.

“Orang ramai dinasihatkan untuk tetap waspada, menghindari perjalanan yang tidak penting, dan mengikuti arahan,” kata Muyaya melalui ciapan di akaun Twitternya.

Penduduk, Irene Bauma mengatakan bahawa orang ramai memerlukan bantuan daripada kerajaan untuk membina semula kehidupan mereka.

“Ada tanah, orang dan penduduk yang telah hilang segalanya, mungkin ada kematian, siapa tahu? Kami meminta pemerintah untuk turun padang dan menghulurkan bantuan kepada mangsa-mangsa yang terjejas,” katanya kepada BBC.

Ketika kejadian letusan itu berlaku, penduduk-penduduk bandar tersebut telah mula melarikan diri mereka dengan membawa apa yang mereka mampu bawa bersama mereka dan berjalan kaki meninggalkan bandar tersebut biarpun arahan untuk berpindah belum diumumkan.

Ramai daripada mereka menuju ke arah selatan iaitu ke sempadan Rwanda, manakala yang lain menghala ke barat iaitu ke arah Sake, di wilayah Masisi malah ada juga antara mereka melarikan kan diri di kawasan yang lebih tinggi di barat bandar Goma.

Menurut stesen penyiaran negara itu, lebih 3,000 orang telah tiba di negara jiran, Rwanda menjelang pagi Ahad.

Dalam laporan 10 Mei, Balai Cerap Vulkanologi Goma telah memberi amaran bahawa aktiviti gempa di sekitar gunung berapi telah meningkat dan memerlukan pemantauan yang teliti.

Kali terakhir Gunung Nyirogongo meletus adalah pada tahun 2002 yang mengorbankan sebanyak 250 nyawa dan menyebabkan 12,000 orang hilang tempat tinggal.


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

‘Datuk’ disyaki ketua kongsi gelap antara 291 ditahan, dadah RM6.26 juta dirampas

SEORANG lelaki bergelar 'Datuk' dipercayai ketua sebuah kumpulan kongsi gelap menjadi antara 291 individu ditahan dalam Op Gaurus dilaksanakan...

More Articles Like This