PIHAK polis sedang menyiasat video tular yang memaparkan seorang lelaki berpakaian menyerupai pasukan keselamatan dan memiliki senjata dipercayai tiruan di sekitar Taman Bukit desa, Kepong, baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Ibrahim Husin berkata, pihaknya menerima laporan berhubung rakaman yang tular di aplikasi WhatsApp itu pada pukul 4.31 petang semalam.
Katanya, siasatan awal mendapati individu yang identitinya masih belum dikenal pasti itu telah memakai pakaian menyerupai pasukan keselamatan dan memiliki senjata dipercayai tiruan.
Baca: Pelajar Tingkatan 1 kritikal, terjatuh dari bangunan sekolah
“Susulan itu, satu kertas siasatan telah dibuka mengikut Seksyen 140 Kanun Keseksaan kerana memakai pakaian askar, kelasi atau askar udara. Kesalahan itu memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga bulan atau denda maksimum RM1,000,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, pihak polis turut menjalankan siasatan mengikut Seksyen 36 Akta Senjata 1960 kerana kesalahan memiliki dan mengimport senjata tiruan.
Justeru, Ibrahim menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor S. Prakash di talian 012-2940827 atau Bilik Gerakan IPD Gombak menerusi 03-61262222 bagi membantu siasatan.

Penulis merupakan Pengarang Multimedia/wartawan di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lima tahun dalam dunia kewartawanan.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2023, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat penyiaran/portal lain sejak tahun 2021.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama mahkamah, jenayah dan politik.

