Demi kebaikan bersama, jangan politikkan rayuan PKP kendiri

Dari Penulis

ANALISIS

APABILA Tan Sri Dr.Noor Hisham Abdullah membuat rayuan supaya orang ramai membantu Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kendiri dan keluarga untuk tempoh dua minggu ia bukanlah dibuat secara suka-suka tetapi mempunyai makna cukup besar dalam kita menangani penularan wabak Covid-19.

Begitulah juga apabila Tan Sri Muhyiddin Yassin membuat rayuan yang sama. Perdana Menteri berbuat demikian bukan atas pandangan peribadi tetapi selepas mendapat pandangan dan nasihat KKM.

Ia memandangkan seperti mana kata Dr.Noor Hisham, KKM memerlukan tempoh dua minggu ini bagi melaksanakan beberapa kesiapsiagaan dalam membendung pandemik tersebut.

Antara Kesiapsagaan itu ialah penyimpanan stok, peralatan dan bat-ubatan selain melihat susun atur untuk meningkatkan lagi keperluan wad dan unit rawatan rapi (ICU) bagi pesakit Covid-19.

Sebab itu beliau membuat rayuan berkenaan dengan tujuan dapat memutuskan rantaian jangkitan wabak itu dan hospital dapat menampung lebih banyak pesakit yang kita meningkat.

Justeru adalah tidak adil dan hujah dangkal apabila ada pemimpin politik cuba memesongkan fakta seolah-olah kerajaan dan KKM menyalahkan rakyat tidak mahu selflockdown.

Tidak wujud soal salah menyalah dalam peperangan ini, apa yang mahu dilakukan ialah meminta kerjasama daripada rakyat memandangkan kerajaan tidak boleh melakukan total lockdown.

Berikutan itulah biarpun meminta self lockdown kerajaan tidak menghalang peniaga-peniaga kecil berniaga, tidak halang restoran atau gerai makanan dibuka atau menutup kilang-kilang.

Apa yang dilakukan aslah menghadkan tempoh berniaga dan beroperasi manakala jumlah kakitangan swasta dan awam bekerja dari rumah dipertingkatkan.

Tidak timbul pun soal ‘sesedap rasa mahu memberi peringatan kepada rakyat supaya self lockdown seolah-olah rakyat tidak peduli bahaya Covid-19’ – kerajaan dan KKM hanya membuat rayuan dan meminta kerjasama rakyat, bukannya bersikap seperti sesetengah pemimpin politik yang terus mencari salah kerajaan dalam apa juga langkah dilakukan kerajaan bagi menangani Covid-19.

Penulis faham bahawa semua pemimpin politik mahu menunjukkan mereka menjadi pembela rakyat, apatah lagi dalam keadaan kerajaan dilihat tidak popular dalam menangani wabak itu tetapi tolonglah faham, kita berada dalam situasi kritikal dalam peperangan yang luar biasa.

Cetuskanlah sikit rasa prihatin untuk bersama-sama kerajaan bagi meminta rakyat berada dalam tempoh dua minggu ini. Janganlah dilihat mahu mempolitikkan segala-galanya sehingga ia menjejaskan usaha kita menghentikan penularan wabak itu.

Dalam satu artikel hari ini, BERNAMA memetik pandangan Pakar Kesihatan Awam Dr Hanafiah Bashirun yang yakin Malaysia mampu menurunkan kes Covid-19 sehingga 20 peratus dalam tempoh dua minggu sekiranya masyarakat mengambil tanggungjawab dengan melakukan sekatan pergerakan kendiri.

Malah kata beliau, langkah kerajaan memperketatkan SOP PKP 3.0 juga merupakan tindakan paling tepat bagi mengimbangi isu kesihatan dan ekonomi.

“Pada PKP 1.0 Mac 2020, kita berjaya melandaikan kes sehingga satu digit dalam tempoh enam minggu untuk kes Covid-19 yang ketika itu hanyalah sekitar 300 lebih. Tetapi apabila kes harian mencecah 6,000 setiap hari, berapa lama pula kerajaan perlu mengambil tempoh untuk lockdown? Adakah memadai dua minggu atau perlu dilanjutkan sebulan?” katanya.

Ini kerana kata beliau mengikut R-Naught terkini, apabila PKP sepenuhnya dilaksanakan kemungkinan hanya mampu mengurangkan kes daripada 6,000 kepada 4,000 kes sahaja sedangkan langkah tersebut akan memberi lebih bebanan kepada sektor ekonomi dan sekali gus mewujudkan pelbagai masalah termasuk kesihatan mental.

Paling membimbangkan banyak sektor ekonomi akan terjejas terutama perkilangan yang tidak dapat beroperasi dan dijangka memberi kesan kehilangan pekerjaan serta pendapatan kepada mereka yang terkesan.

“Ini akan meningkatkan pula kes seperti kemurungan, bunuh diri, penderaan dan gangguan seksual. Apabila kerajaan membuat keputusan memberi sedikit kelonggaran (dengan tidak melaksanakan PKP penuh), negara boleh menyelamatkan kedua-duanya sekali iaitu kesihatan dan ekonomi,’’ jelas beliau.

Justeru kata beliau, usaha mengehadkan pergerakan adalah langkah paling berkesan mengurangkan jumlah jangkitan namun usaha ini menjadi sukar sekiranya masyarakat masih memandang enteng pematuhan SOP.

Sebelum ini pun ramai pakar-pakar perubatan sudah memberi pandangan yang sama. total lockdown bukanlah penyelesaiannya. Apa yang penting ialah kita mematuhi SOP dan duduk di rumah kalau tidak ada urusan penting.

Kalaulah tak nak dengar cakap kerajaan tak apalah, mungkin kerana tak suka kerajaan atau berbeza fahaman politik yang semakin disempitkan tetapi dengarlah rayuan Dr.Noor Hisham dan kasihanilah barisan hadapan yang semakin kelelahan mental dan fizikal bagi merawat pesakit Covid.

Tempoh dua minggu ini bukanlah untuk mendera rakyat, tempoh dua minggu bukan untuk kepentingan kerajaan, tempoh dua minggu ini bukan untuk mencari salah sesiapa, tetapi tempoh dua minggu ini amat penting bagi mengawal penularan pandemik Covid-19 dan menurunkan kadar jangkitan.

Hakikatnya rayuan melakukan PKP kendiri adalah demi kebaikan kita bersama, demi keluarga kita, demi masyarakat, kita dan demi negara yang kita cintai ini. Kalau kita masih lagi berbalah soal keputusan kerajaan, kalau kita masih lagi salah menyalah, kalau kita masih lagi mempertikai itu dan ini…kita akan kalah dalam melawan Covid-19.

Jika itu berlaku percayalah tidak ada siapa untung sebaliknya rakyat g akan sengsara dan negara akan menderita.


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Keperluan mempercepat peralihan tenaga di Malaysia

MALAYSIA perlu mempercepat peralihan tenaga kerana negara berdepan risiko krisis bekalan tenaga, ketidaktentuan harga bahan api global, tekanan subsidi...

More Articles Like This