KEMELUT yang melibatkan kegiatan perniagaan House Of Champions (HOC) dengan sebahagian ahli kumpulan Search iaitu Amy dan Nasir Daud serta waris Allahyarham Yazit masih lagi belum nampak jalan penyelesaian.
Tampil menjelaskan hal sebenar, pemilik dan pengurus HOC, Mozylir Mokhtaruddin menafikan jika Nasir iaitu pemain dram band legenda itu tidak tahu-menahu tentang kegiatan dan perancangan mereka.
Menurut Mozylir, setiap perancangan bagi mengeluarkan aksesori rasmi menggunakan label Search, telah mendapat persetujuan semua anggota kumpulan termasuklah Nordin Mohd. Taib (Din), Hamzah Mohd. Taib (Kid) serta Nasir.
“HOC sudah mendapatkan persetujuan dan kebenaran bagi mengeluarkan produk dan aksesori rasmi Search daripada pihak Search iaitu Din, Kid dan Nasir sebelum ini.
“Semua dokumen yang melibatkan produk, reka bentuk, kuantiti yang dicadangkan dan agihan bayaran royalti kepada setiap individu yang berkaitan dengan pihak Search telah ditandatangani oleh Din.
“Segala dokumen yang berkaitan telah diserahkan juga kepada pihak peguam untuk proses dokumentasi sebelum ini,” katanya.
Mozylir tampil bersama Din serta peguam mereka, Datuk Syed Azimal Amir Syed Abu Bakar dan Noorizwa Jurish dari Tetuan Sharif Ridzuan & Co menerusi sidang media yang diadakan secara maya sebentar tadi bagi membalas kenyataan Amy dan Nasir.
ARTIKEL BERKAITAN: HOC masih belum terima surat tuntutan daripada Amy, Nasir , Search tuntut ahli perniagaan berhenti guna nama band untuk kaut keuntungan , Search beri tempoh tujuh hari atau berdepan tindakan undang-undang
Justeru, dakwaan serta tuduhan mengaitkan HOC tidak dibenarkan menggunakan nama Search adalah tidak benar kerana Nasir turut terlibat secara langsung dan menjual produk rasmi Search sejak Februari 2020 menerusi Konsert Apologia.
Malah, usaha Mozylir untuk cuba berkomunikasi dengan menghubungi Amy beberapa kali menenemui jalan buntu apabila panggilan telefonnya gagal dijawab.
“Sebelum ini saya ada menghubungi Amy melalui panggilan telefon dan menerusi aplikasi WhatsApp tetapi tak ada respons.
“Malah hubungan saya dengan Nasir sebelum ini sangat rapat dan tidak ada sebarang masalah. Bila Amy tak menjawab panggilan telefon dan senyap, saya minta Nasir untuk sampaikan semua informasi yang sudah dipersetujui kepada Amy.
“Jadi kami anggap Amy sudah tahu tentang semua projek yang kami rancang. Mungkin Amy tak dapat maklumat yang betul, itu saya tak boleh nak cakap apa dan tidak tahu. Secara dasarnya, mereka sudah tahu,” ujarnya kepada URTV.
Sementara itu Din meminta Nasir untuk menerangkan hal yang tepat bukan membuat tuduhan yang tidak betul sedangkan dirinya tahu tentang semua kegiatan perniagaan HOC.
“Kami sudah berkawan 40 tahun bukannya empat tahun. Buat apa nak bergaduh. Dia (Nasir) sepatutnya bercakap perkara sebenar bukannya menafikan dirinya tidak tahu apa-apa.
“Saya memang terkejut bila dia mengeluarkan kenyataan tidak tahu sedangkan sebenarnya dia mengetahui segala perancangan kami.
“Perkara ini boleh diselesaikan dengan baik jika Nasir datang bersemuka dan berbincang dengan kami. Malah, dia mengeluarkan kenyataan bahawa saya memandai-mandai buat perancangan dan membelakangkan mereka.
“Saya bukan nak ambil hak mereka…apa guna saya ambil (hak). Apa yang saya rancang itu sebenarnya hal yang baik dan untuk Search juga. Cuma apa yang keluar daripadaa mulut Nasir banyak yang tidak tepat,” katanya.
Dalam pada itu, wakil peguam yang mewakili Mozylir dan HOC, Syed Azimal Amir berkata, persengketaan melibatkan penggunaan nama Search boleh dibincang dan diselesaikan dengan baik sekiranya semua ahli kumpulan sepakat untuk bersemuka dan mencari titik penyelesaian bagi tidak memanjangkan isu berkenaan.
Jelasnya lagi, daripada sudut perundangan, Amy yang memilih untuk berundur daripada kumpulan rock legenda itu pada Mac tahun lalu tidak sepatutnya terbabit lagi dengan sebarang akitviti yang melibatkan band tersebut.
“Kalau daripada segi perundangan, jika seseorang memilih untuk keluar dariapda sebuah kumpulan atau persatuan, maka maknanya dia tak terlibat lagi. Lebih-lebih lagi dalam sebuah band kerana tiada sebarang perjanjian bertulis sesama ahli.
“Secara kasarnya kita boleh kata, bila dah keluar kumpulan, jadi dah tak perlu libatkan diri dalam kumpulan itu di masa akan datang,” tuturnya.

Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

