Rita rudaini Farahanim

AKTRES Rita Rudaini menyelar dakwaan seorang pengacara televisyen iaitu Farahanim Razak yang menuduh dirinya seorang antivaksin.

Farahanim sebelum itu menerusi akaun di Twitter miliknya telah memuat naik satu ciapan yang berbunyi:

“Cuba teka jiran-jiran saya yang anti vakin? Dua pelakon bermula dengan RR dan LL. Selalu sebar dakyah rebus bunga cengkih untuk elak Covid-19. Serta Covid adalah iluminati,” tulisnya di Twitter.

Rita bagaimanapun, yakin ciapan tersebut ditujukan buat dirinya meskipun pengacara tersebut tidak menyebut nama penuh siapa yang dimaksudkan.

Menurut Rita, dia kesal dengan sikap suka bercakap belakang dan hipokritnya walaupun mereka hidup berjiran.

Menurut Rita, dia tidak pernah mengakui sebagai seorang yang menolak suntikan vaksin Covid-19 dan menyebarkan dakyah tidak berasas.

“Saya tak pernah tulis saya antivaksin. Saya nak rebus rumput ke, nak rebus tahi ke, itu saya punya fasal lah. Tak pernah kacau hidup orang pun.

“Nampak sangat tidak bijak fasal vaksin saja pun nak pandang serong dekat orang…Islam pula.

“Orang macam ini tak boleh buat jiran, suka cakap belakang. Depan bukan main manis mulut, belakang busuk juga ya.

“Tak payahlah tulis RR…LL, tulis sajalah nama…apa salahnya, kalau nak cari publisiti. Lepas ini naiklah pengikut, jahat juga mulut awak ya,” katanya.

Dalam pada itu, Rita turut mempertikaikan tindakan pengacara itu yang sepatutnya bersemuka jika mempunyai masalah dirinya bukan hanya pandai memuat naik status di media sosial.

“Beginikah sikap seorang muslimah. Datanglah jumpa depan-depan. Bukan tak pernah sembang pun kan.

“Saya lagi lama duduk kawasan ini berjiran dengan Scha Alyahya dan Awal Ashaari serta Lufya.

“Tak pernah pula jumpa jiran macam ini, elok saja. Kalau tak puas hati, marilah sembang.

“Kita orang Islam dan tinggal berjiran. Apa masalah ‘hang’ ini?,” ujarnya.

Sementara itu, menerusi hantaran lain, pelakon berusia 45 tahun itu menganggap tuduhan yang mengatakan dia seorang antivaksin adalah amat berat.

“Apa bukti dia mengatakan saya antivaksin? Besar dan berat sangat tuduhan itu. Boleh jadi fitnah.

“Adakah dengan membuat rebusan herba dan minum airnya salah? Adakah ia haram? Adakah ia boleh memudaratkan kesihatan?

“Sedangkan Rasulullah SAW juga mengamalkan pengambilan herba seperti habbatussauda, zaitun, henna, siwak untuk tujuan perubatan. Malah dalam Al-Quran juga menjelaskan perkara ini.

“Adakah menjadi kesalahan untuk seseorang yang mengamalkan pengambilan herba sebagai satu alternatif untuk menjaga kesihatan diri? Adakah itu boleh dilabel antivaksin?,” soalnya lagi.