PENGURUS Home Of Champions (HOC), Mozylir Mokhtaruddin memberitahu sehingga kini pihak mereka masih belum menerima notis tuntutan seperti yang didakwa oleh anggota Search iaitu Amy dan Nasir.
Menurut Mozylir, pihaknya merujuk kepada kenyataan media yang dikeluarkan pada 20 Mei lalu oleh mereka dengan jelas mengatakan HOC telah menggunakan nama Search tanpa kebenaran untuk menjual pakaian dan aksesori.
ARTIKEL BERKAITAN : Search beri tempoh tujuh hari atau berdepan tindakan undang-undang , Search tuntut ahli perniagaan berhenti guna nama band untuk kaut keuntungan
“Mereka (Amy dan Nasir) mendakwa kami menggunakan nama Search dan menjalankan perniagaan di beberapa laman web, antaranya www.fenomenasearch.com.
“Tetapi sehingga dari tarikh kenyataan media ini dikeluarkan, pihak HOC dan pihak peguam kami belum menerima apa-apa notis tuntutan daripada pihak mereka.
“Untuk segala tuduhan dan tohmahan yang dilemparkan terhadap perkara ini, kami akan jelaskan kepada umum ketika sidang media secara dalam talian (virtual) pada Jumaat ini, pukul 3 petang.
“Sidang media itu akan turut dihadiri oleh barisan peguam kami dan pihak Search iaitu Din dan Kid,” katanya.
Sementara itu, Mozylir berkata, aktiviti perniagaan HOC masih berjalan seperti biasa.
“PIhak HOC juga ingin memaklumkan kepada pelanggan dan peminat, operasi perniagaan kami berjalan seperti biasa dan akan meneruskan aktiviti pemasaran seperti yang dirancang.
“Kami memohon maaf atas segala kesulitan,” ujarnya.

Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

