Kesilapan memilih warna hijab kadangkala boleh menyebabkan penampilan seseorang kelihatan kurang menyerlah dan tampak kusam.
Bijak bermain warna hijab memberikan impak positif sekali gus meningkatkan tahap keyakinan ketika bergaya. Ikuti trik HF memilih warna hijab yang cocok dengan tona kulit di samping idea solekan bagi membantu menyerlahkan seri.

Kulit cerah
Cuba elakkan mengenakan warna-warna lembut seperti pastel, putih, beige dan gold kerana ia boleh membuatkan wajah anda tampak pucat dan tidak bermaya. Pilihan terbaik ialah mengenakan hijab warna kontra dari kulit iaitu gelap atau terang seperti hitam, kelabu, jingga, merah, royal blue atau deep purple. Warna-warna ini menyerlahkan raut wajah anda tampil lebih cerah bercahaya.
Warna solekan : Palet pembayang mata dengan rona-rona yang tidak terlalu gelap amatlah sesuai buat anda yang berkulit putih. Jika and mahu bermain dengan warna-warna terang, adunkan sedikit elemen rona tanah bertekstur metalik untuk solekan siang yang sempurna. Kemudian alaskan dengan gincu bibir terang untuk efek gaya lebih memukau. Daripada fuschia hingga ke warna jingga terang, semuanya tampak menarik. Jika inginkan warna-warna nude, pilih warna yang punya sedikit rona merah jambu atau pic agar wajah tidak kelihatan pucat.

Kulit gelap sawo matang
Sifat kontra terhadap warna kulit membantu menyerlahkan look tampak lebih segar. Justeru warna-warna pastel dan terang seperti pink, merah, jingga, kuning mahupun royale blue membantu kulit anda kelihatan lebih menyerlah. Cuba elakkan mengenakan warna kusam seperti hitam, kelabu atau coklat yang boleh menenggelamkan penampilan.
Warna solekan : Tona kulit seperti ini harus mengelak memilih rona putih yang berlebihan, biru, hijau serta merah jambu pucat pada bahagian mata. Tinggalkan juga bronzer, sebaiknya gunakan highlighter. Solekan effortless dengan calitan highlighter mampu menaikkan seri wajah. Kemasan bibir dengan gincu tona merah terang amat padan dengan jenis kulit ini. Lapiskan dengan gloss bibir natural mahupun gloss berwarna yang membantu wajah anda tampil lebih sempurna.

Kulit kuning langsat
Bagi anda yang memiliki kulit sebegini, ada baiknya mencuba mengenakan rona merah jambu, pic merah dan biru pucat. Elakkan daripada memakai kategori nuansa keemasan seperti jingga, karamel atau coklat gelap yang boleh menyebabkan kulit wajah anda tampak kusam.
Warna solekan : Warna-warna seperti pic atau coral sesuai untuk layangan pipi tampak lebih seksi dan natural. Tambah sinar pada bibir manja dengan olesan rona terang lagi sensual. Lapisan gincu rona merah atau merah jambu dengan salap lip gloss berkilat menambah aura bibir seksi menggoda. Kulit jenis ini sesuai mengenakan semua tona.

