SEBELUM ini, beberapa negeri mencatatkan jumlah ketidakhadiran untuk menerima suntikan vaksin di pusat pemberian vaksin (PPV) agak tinggi, namun purata kehadiran secara keseluruhan masih mencecah 80 peratus.
Menurut Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin, antara alasan dikemukakan orang ramai adalah masalah pengangkutan yang dihadapi mereka.
Bagi memastikan vaksin tidak dibazirkan, Khairy berkata, pihaknya sedang merancang untuk menggunakan senarai menunggu di peringkat daerah dan negeri.
Pada masa sama, beliau memaklumkan, Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) dan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) seluruh negara diberi kebebasan untuk melaksanakan apa sahaja kaedah sesuai bagi memastikan semua penerima memperoleh suntikan vaksin.
“Kita telah buat keputusan untuk memperkasa JKN dan PKD bagi melaksanakan apa juga kaedah untuk memastikan bahawa mereka menerima vaksinasi.
“Sebagai contoh, minggu lalu JKN Terengganu telah meminta kebenaran Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF) bagi melaksanakan unit bergerak pergi ke kampung untuk memberi vaksin dari rumah ke rumah.
Baca artikel berkaitan: Projek perintis vaksinasi trak bergerak di ibu negara
“Perkara ini telah berjaya dilaksanakan. Kita bagi kebebasan kepada negeri dan daerah untuk mengatasi masalah ketidakhadiran ini. Kalau mereka enggan keluar daripada rumah, kita akan gerakkan unit mudah alih ini untuk pergi kepada mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar mingguan PICK bersama Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba, hari ini.
Media sebelum ini melaporkan beberapa negeri merekodkan jumlah ketidakhadiran menerima vaksin yang tinggi termasuk melibatkan 10,827 individu di Kedah dan hampir 10,000 di Kelantan.
Dalam pada itu, Khairy memaklumkan, kerajaan memutuskan bahawa rakyat tidak akan diberi pilihan untuk memilih jenis vaksin sendiri kerana mungkin akan melambatkan PICK.
Buat masa ini, kata beliau, jenis vaksin yang akan diberikan bergantung kepada bekalan semasa.
“Melihat kepada situasi semasa penularan COVID-19, lebih baik kita bagi apa sahaja yang ada. Kalau kita nak bagi pilihan, ini akan melambatkan lagi PICK.
“Sebelum ini, saya ada maklumkan cadangan untuk pertimbangkan untuk memilih vaksin, tetapi apabila dalam tempoh saya umumkan cadangan itu, kes meningkat dengan mendadak,” jelas beliau.
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

