Suatu hari, seorang lelaki datang menemui Ibrahim bin Adham, seorang ahli sufi. Lelaki yang ingin bertemu Ibrahim itu bukanlah seorang yang baik akhlaknya. Setiap hari hidupnya dihabiskan dengan melakukan maksiat.
Tujuan lelaki itu mahu meminta nasihat daripada Ibrahim. Katanya, “Aku ini seorang yang suka melakukan maksiat. Bolehkah engkau berikan aku nasihat yang boleh diterima akal agar aku berhenti melakukannya?”
Lalu Ibrahim yang bijaksana berkata kepada lelaki itu, “Jika kau mampu melaksanakan lima perkara ini, aku tidak keberatan jika kau ingin terus melakukan maksiat.”
Segera lelaki itu bertanya, “Apakah lima perkara itu?”
Lalu Ibrahim menjawab, perkara pertama, jika lelaki itu hendak membuat maksiat, jangan ia makan rezeki yang diberi Allah.
Lelaki itu mengerutkan dahi sambil berkata, “Jika begitu aku hendak makan dari mana? Bukankah semua rezeki yang ada di bumi ini milik Allah?”
“Benar. Jika engkau sudah tahu, apakah kau layak untuk membuat maksiat sedangkan engkau masih terus makan dari rezekiNya?” tanya Ibrahim.
Lelaki itu menjawab, “Betul kata mu itu. Apa pula perkara kedua?”
Ibrahim pun memberitahu, lelaki itu tidak boleh tinggal di bumi jika ingin terus melakukan maksiat.
“Jika begitu, aku harus tinggal di mana? Bukankah segala isi bumi bahkan alam maya ini milik Allah?” tanya lelaki itu lagi.
“Benar. Sebab itu kau harus fikir, layak kah kau tinggal di bumi ini dan makan rezeki diberi Allah sementara kau masih membuat maksiat?” tanya Ibrahim.
Lelaki itu mengangguk setuju. Dia bertanyakan pula tentang perkara ketiga. Ibrahim pun menjawab, jika lelaki itu masih mahu melakukan maksiat, maka dia harus mencari tempat tersembunyi daripada penglihatan Allah.
“Mustahil! Walau di mana kita bersembunyi, Allah tetap akan nampak,” jawab lelaki itu.
“Kau benar. Jika kau yakin Allah mampu melihat walau di mana kita berada tapi kau masih terus makan rezekiNya dan tinggal di bumiNya, adakah pantas untuk kau terus melakukan maksiat dan melanggar perintahNya?” kata Ibrahim.
Lelaki itu mengangguk tanda setuju. Bagaimana pula perkara keempat?
Ibrahim pun menjawab, “Apabila malaikat maut datang untuk mencabut nyawa mu, kau katakan padanya bahawa engkau belum mahu mati sebelum engkau sempat bertaubat dan melakukan amalan baik.”
Lelaki itu termenung seketika sebelum menjawab, “Itu adalah mustahil sama sekali untuk dilakukan.”
“Jika engkau tidak mampu untuk menahan hari kematian mu, lalu bagaimana engkau dapat menahan daripada kemurkaan Allah?” soal Ibrahim.
Lelaki itu kian tidak keruan. Dia terus bertanyakan perkara kelima, yang terakhir.
Ibrahim pun menjawab, “Yang terakhir, apabila malaikat Zabaniyah mengiringi langkah mu ke neraka kelak, jangan lah engkau ikut langkahnya. Sebaiknya engkau menghindar supaya tidak dibawa ke dalam neraka.”
Lelaki itu terfana. Kali ini, dia tidak mampu menjawab apa-apa lagi. Mana mungkin dia ada kuasa untuk menghalang malaikat mengheretnya masuk ke neraka atas dosa-dosa yang telah dilakukannya. Serta merta lelaki itu menangis dan menyesal dengan perbuatannya selama ini.
“Cukup wahai Ibrahim. Aku tidak sanggup mendengarnya lagi. Sesungguhnya, kelima-lima syarat yang engkau katakan itu tidak mampu aku lakukan. Mulai saat ini aku bertaubat dan berjanji akan mengikut segala perintah Allah,” ujar lelaki itu.

____________
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram.

