Warga emas sekat nombor telefon antivaksin

Dari Penulis

WARGA emas sememang menjadi sasaran kumpulan antivaksin untuk menyebarkan dakyat mereka. Namun tidak semua akan terpengaruh dengan kelompok songsang tersebut.

Ia terbukti di Kuantan apabila seorang warga emas yang enggan terpengaruh dengan maklumat palsu mengenai suntikan vaksin bertindak memadam mesej dan menyekat nombor telefon individu yang menghantar maklumat itu kepadanya menerusi aplikasi WhatsApp.

Pesara kerajaan Syed Ahmad Syed Zin, 78, berkata dia tidak mahu terperdaya dengan berita palsu seumpama itu kerana percaya vaksin adalah kaedah terbaik dalam mengekang penularan wabak Covid-19.

“Mesej mengarut yang diterima pun saya padam, kalau kerap sangat mereka hantar saya terus sekat, kalau mereka tidak mahu terima suntikan tidak perlu mempengaruhi dan menakutkan orang lain.

“Saya ada penyakit darah tinggi dan kencing manis, namun Alhamdulillah sejak menerima suntikan pertama pada 3 Mei lepas, saya tidak mempunyai apa-apa kesan sampingan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menerima suntikan dos kedua vaksin jenis Pfizer di Kompleks Asnaf Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang di sini hari ini.

Seorang lagi warga emas, Zam Badu melahirkan rasa syukur dan gembira apabila secara kebetulan melengkapkan suntikan dos kedua vaksin pada hari lahirnya yang  ke-74 tahun  hari ini.

Bagaimanapun dia berkata, vaksinasi lengkap itu bukan  ‘tiket’ untuk tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan.

“Kita masih kena jaga diri sendiri dan orang lain, jangan keluar jika tidak perlu…meskipun dah menerima vaksin risiko tetap ada. Bagi rakan-rakan seusia saya, tidak perlu bimbang kerana selepas suntikan tidak mempunyai apa-apa kesan,” katanya yang terpaksa bertongkat akibat kesan kemalangan motosikal pada 2014.

Sementara itu, Penyelaras Pusat Pemberian Vaksin Daerah Kuantan Dr Rashidah Abdul Rahman berkata seramai 254 individu daripada 14 pusat jagaan warga emas bersetuju dan layak menerima suntikan menerusi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan.

Menurut beliau, pemberian vaksin hanya dilakukan selepas mendapat persetujuan daripada waris kesemua penghuni berkenaan terlebih dahulu.

“Sememangnya ada yang menolak untuk menerima vaksin, tetapi kita akan cuba sedaya upaya memberi penerangan tentang kepentingan vaksin, sekiranya mereka masih enggan kami akur, kerana tiada paksaan untuk menerima vaksinasi,” katanya.


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Harga diesel bersubsidi turun kepada RM2.10 seliter mulai Julai

BERITA baik buat orang ramai apabila Kerajaan MADANI bersetuju menurunkan harga diesel bersubsidi untuk rakyat kepada RM2.10 seliter mulai...

More Articles Like This