KETIKA ini berhadapan dengan satu sahaja masalah besar iaitu Covid-19. Penularan wabak itu bukan sahaja menggugat kehidupan rakyat negara ini malah ia juga menganggu pertumbuhan ekonomi negara.
Bagaimanapun pada masa sama ia juga membuka ruang kepada ahli-ahli politik tertentu untuk terus berpolitik dengan alasan kerajaan di bawah kepemimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin telah gagal menangani pandemik tersebut.
Namun begitu memetik kata-kata Dr.Chandran Muzaffar;
‘’Penilaian yang adil dan seimbang terhadap prestasi kerajaan akan merumuskan bahawa tidak ada asas yang rasional untuk menggulingkan kerajaan sekarang. Dalam keadaan seperti kita, seseorang tidak menukar kuda di tengah sungai. Kesan daripada tindakan tersebut boleh membawa malapetaka kepada negara terutamanya jika seseorang mengambil kira gambaran yang lebih besar.’’
Dr.Chandra juga menggariskan sekurang-kurangnya 6 dimensi pandemik dan akibatnya yang diuruskan dengan baik oleh Perdana Menteri iaitu menjejaki dan memantau wabak, memberi rawatan yang berkesan kepada pesakit melalui rawatan di hospital, mencegah wabak yang dijangkakan mengakibatkan penyebaran dramatic, melaksanakan program imunisasi besar-besaran, memastikan pemulihan daripada wabak bagi sebilangan besar mereka yang dijangkiti dan mengurangkan kesan sosio ekonomi melalui pelbagai pakej bantuan.
Tetapi itu hujah orang berfikiran rasional dan tidak ada apa-apa sentimen politik terhadap kerajaan. Sebelum ini sudah ada pakar perubatan yang bekerja di United Kingdom melahirkan kekaguman terhadap cara kerajaan menangani pandemik tersebut.
Ya betul ada kelemahan sedikit sebanyak, ada lagi ruang yang harus dibaiki tetapi itu tidak bermakna kerajaan dianggap sudah terhumban dalam lembah kegagalan atau gagal secara total dalam usaha memerangi wabak berkenaan.
Kita masih belum gagal malah bagi mereka yang mampu berfikir secara rasional mereka akan dapat melihat dari semasa ke semasa satu demi satu kelemahan sudah diperbaiki.
Justeru wajarkah secara tiba-tiba ada cadangan Majlis Gerakan Negara (MAGERAN) ditubuhkan? Adakah hari ini tubuh MAGERAN, esok Covid-19 akan terhapus dari bumi Malaysia?
Adakah kita hendak bermula dari ‘kosong’ bagi menangani pandemik tersebut? Tidakkah ia akan menambah lagi kekusutan dalam negara? Tafsiran kegagalan atau gagal itu dicanangkan atas penilaian apa?
Suka atau tidak, semua pihak harus menerima hakikat, kita harus meneruskan agenda sedia ada bagi memerangi Covid-19. Kita tidak mampu lagi untuk berbalah apatah lagi mahu menggoncangkan arena politik negara. Ia memandangkan wabak yang kita hadapi ini masih mengancam.
Lagipun semua pemimpin-pemimpin parti sudah memberi pandangan mereka kepada Yang di-Pertuan Agong.Penulis yakin ada cadangan itu boleh dijadikan input kepada kerajaan.
Begitulah juga dengan sidang Parlimen, boleh sahaja diadakan kalau itu dilihat boleh membuka ruang bagi kita menewaskan Covid-19.Tetapi janganlah pula nanti sidang Parlimen itu dijadikan medan untuk berpolitik.
Kita tidak boleh mengalih tumpuan kita daripada mengekang penularan Covid-19! Soal politik, soal siapa nak jadi Perdana Menteri, soal nak buka khemah kecil, khemah besar, nak wujud jajaran baharu, nak kekal jajaran lama…ini bukan masanya!
Sekarang masanya untuk kita memerangi Covid-19, itulah juga yang menjadi faktor utama Yang di-Pertuan Agong berkenan menerima menghadap ketua-ketua parti politik sebab Seri Paduka mahu mendengar pandangan mereka sebelum sesi Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu di Istana Negara pada 16 Jun ini.
Perbincangan khas itu adalah atas inisiatif Seri Paduka dan akan dipengerusikan oleh Seri Paduka berkaitan dengan usaha-usaha memerangi penularan wabak Covid-19 dan pelaksanaannya semasa tempoh Darurat.
Justeru janganlah ada pemimpin politik yang cuba mahu mempolitiknya dengan berhujah ‘’ mesti ada sesuatu yang tidak kena dengan pelaksanaan usaha kerajaan Perikatan Nasional (PN) memerangi Covid-19 dalam tempoh Darurat sehingga Istana perlu menganjurkan satu sesi perbincangan khas Raja-Raja Melayu.’’
Dalam kita berhadapan dengan krisis wabak yang luar biasa ini, apa juga cara dan usaha harus dilakukan termasuklah juga mendengar pandangan Raja-Raja Melayu. Adakah itu dianggap ‘ada sesuatu tidak kena’?
‘Ada sesuatu tidak kena’ itu ialah apabila ada pemimpin politik sejak setahun lalu asyik mencari salah kerajaan sahaja walaupun partinya dalam kerajaan, ‘ada sesuatu tidak kena’ itu ialah apa sahaja kerajaan buat untuk menangani Covid-19 semuanya dikatakan tidak betul.
Dan ‘ada sesuatu tidak kena’ itu ialah ada pemimpin politik masih lagi dalam berfikiran sempit dok bercakap soal sokongan partinya terhadap Kerajaan Perikatan Nasional (PN) ketika Covid sedang mengganas.
Pada masa sama bersikap adil lah kepada Muhyiddin.Beliau bukannya duduk diam dan membiarkan sahaja negara ini huru-hara akibat pandemik tersebut. Pelbagai usaha sudah, sedang dan akan dilakukan bagi memulihkan keadaan negara.
Kalau tak suka macam manapun, rasional lah sikit dalam berhujah, jangan sampai ‘dendam politik’ menutupi kita untuk melihat kebenaran.
Sebab itu lah kalau berfikir dengan tenang dan hati yang bersih, kita akan faham betapa hebatnya cabaran yang sedang dihadapi oleh kerajaan ketika ini. Justeru janganlah asyik mencari salah sahaja. Kalau begitulah sikapnya sampai ke bilapun kita tidak akan mampu menyelesaikan krisis pandemik ini.
Setakat ini apa yang dilakukan oleh kerajaan mula menampakkan hasil. Hanya perlu sedikit masa sahaja lagi bagi memulihkan negara. Janganlah kerana ada sedikit sebanyak kelemahan yang boleh diperbaiki dengan penyatuan hati semua pihak tanpa mengira fahaman politik, kita mahu ‘meruntuhkan’ segala usaha yang sedang dilakukan?
Misi utama ketika ialah memastikan kita mencapai imuniti kelompok. Apabila itu sudah dicapai bak kata Datuk Dr.Marzuki Mohamad ‘’bukan sahaja nak adakan sidang Parlimen,nak adakan pilihan raya pun boleh. Jadi buat masa ini kita tumpu dahulu usaha kita untukmengatasi masalah Covid-19.’’
Justeru cukup-cukuplah mahu mengamalkan sikap ‘marahkan nyamuk kelambu dibakar’ kerana ia sama sekali tidak akan menguntungkan rakyat dan negara.

