dakwah atas padang bola

Euro 2020 sudah membuka tirainya. Inilah masa yang ditunggu-tunggu menyaksikan pasukan pilihan beraksi. Bagi pencinta bola, mereka sanggup bersengkang mata hingga ke dinihari, semata-mata menonton pasukan pilihan. Biasanya kedai mamak menjadi pilihan kerana mereka menyediakan skrin besar dan beroperasi 23 jam.

Meriahnya suasana itu hanya tinggal kenangan. Sekarang musim covid 19, jangankan menonton bola di mamak, hendak melepak sambil makan roti canai sekejap pun tidak dibenarkan.

Selain Piala Dunia, Euro juga antara kejohanan yang paling dinanti kerana dibarisi pemain yang bertaraf bintang dari seluruh dunia. Bukan itu sahaja, corak permainan mereka juga sangat menarik serta pantas. Perancis, Sepanyol, England, Portugal dan lain-lain negara benua Eropah antara negara yang menjadi pilihan.  

Bagi peminat bola sepak, mungkin juga menyedari, dewasa ini sudah ramai pemain-pemain yang beragama Islam terpilih mewakili negara mereka. Jika dahulu, untuk mencari seorang pemain beragama Islam cukup sukar.

Ini merupakan satu perkembangan yang positif kerana objektif sukan yang tidak dibatasi dengan isu perkauman mahupun agama tercapai. Jika kita lihat, terdapat usaha-usaha yang dilakukan oleh beberapa pengurusan kelab atau negara dalam memberi ruang keselesaan kepada pemain beragama Islam.

Kita ambil contoh kelab Inggeris sahaja. Kelab-kelab seperti Blackburn, Bolton dan Newcastle United umpamanya. Mereka menyedari bahawa peranan agama sangat penting dalam meningkatkan prestasi pemain-pemain

Oleh itu mereka telah mendirikan musolla di pusat latihan kelab seperti di Sport Direct Arena Newcastle. Malah kenyataan dari Alan Pardew satu ketika dahulu kepada The Mail Sunday cukup menarik untuk direnungkan.

Menurutnya, “mendirikan musolla sesuatu yang saya fikir sangat penting kerana kami juga memerhatikan latar belakang dan agama para pemain kami. Di stadium bukanlah situasi yang ideal untuk beribadah.

Itulah yang kami perhatikan. Agama memainkan peranan penting bagi para pemain kami. Anda harus menghormati bahawa beberapa pemain memiliki agama yang berbeza dengan sebahagian besar pemain di negeri ini.”

Setelah pembangunan musolla yang diwacanakan oleh Newcastle, sebenarnya peluang untuk para pemain Muslim lain mendapat fasiliti ibadah yang serupa juga semakin luas.

Mereka dibenarkan untuk mendirikan solat apabila masuk waktunya, memiliki ruang mandi yang terpisah dengan pemain lain, disediakan makanan halal, kebenaran berpuasa di bulan Ramadan dan meringankan latihan pemain ketika mereka berpuasa sebagai menghormati amalan agama mereka.

Bahkan terdapat pemain yang teguh prinsip keimanan, mengelak dari meraikan sesuatu kejayaan dengan menyembur arak sebagaimana tradisinya. Ditambah lagi, antara kelab-kelab Inggeris tersebut ada pemiliknya yang sememang beragama Islam seperti Manchester City yang dimiliki oleh jutawan Arab Saudi dan kelab Fulham F.C. milik jutawan Pakistan kelahiran Amerika.

Stadium Newcastle United antara stadium yang menyediakan musolla untuk pemain muslim solat

Kebanjiran pemain-pemain Muslim yang bertaraf bintang bersama prinsip Islam yang digenggam, ia sebenarnya memberi dampak yang sangat positif. Jika anda masih ingat, Frederic Kanoute yang pernah bermain untuk kelab Seville di La Liga Sepanyol pernah membuat keputusan yang sangat berani.

Dia dikatakan menolak untuk memakai logo laman perjudian 888.com di jersinya ketika beraksi di atas padang. Alasannya mudah, judi adalah perkara yang bertentangan dengan Islam.

Dalam isu ini, perkara yang sama juga turut berlaku apabila Dewan Muslim Inggeris (MCB) telah mengingatkan para pemain yang beragama Islam di Newcastle seperti, Papis Cisse, Cheick Tiote dan Hatem Ben Arfa, supaya tidak memakai logo penaja baru kelab iaitu syarikat Wonga.com. Ini disebabkan syarikat tersebut merupakan syarikat pemberi pinjaman wang jangka pendek yang telah mengenakan kadar bunga tinggi kepada peminjam.

Jelas sekali ia bertentangan dengan hukum syariah. Memakai logo tersebut seolah-olahnya ia turut mempromosikan syarikat tersebut. Secara tidak langsung ia membawa mesej kepada masyarakat bahawa, Islam menolak sesuatu perkara yang jelas menindas dan menzalimi sesama manusia.

Sujud Syukur

Cara sesetengah pemain Muslim dalam meraikan kejayaan mereka selepas menyumbat gol di gawang lawan juga menarik untuk diperkatakan. Mereka tidak meraikannya dengan melompat, menjerit, memaki pihak lawan atau membuka baju sambil berlari.

Tetapi apa yang mereka lakukan adalah dengan sujud syukur sebagaimana yang dilakukan oleh Demba Ba dan Cisse serta ramai lagi.

Aksi Demba Ba sujud syukur meraikan jaringannya

Aksi yang dilakukan ini sebenarnya berjaya menjadi tren ikutan peminat. Bahkan anak-anak kecil yang bermain bola sepak, seusai berjaya menjaringkan gol, mereka terus bersujud sebagaimana yang dilakukan oleh idola mereka.

Mungkin mereka masih tidak memahami secara langsung, namun bagi yang mempunyai pendidikan tinggi, mereka sedar bahawa perbuatan tersebut merupakan amalan umat Islam. Ini juga merupakan salah satu dakwah bil hikmah sebagaimana yang ditunjukkan oleh Rasulullah s.a.w. 

Walau bagaimanapun, sangat menjengkelkan apabila pernah seorang pengulas sukan di stesen TV al-Jazeera Sport mentafsirkan perbuatan tersebut sebagai aksi memakan rumput. Ia berlaku sewaktu dia mengulas perlawanan bola sepak antara kelab Schalke dengan Montpellier dalam liga Champion.

Gary Lineker dikenali sebagai salah seorang legenda bola sepak yang pernah bermain untuk kelab Barcelona dan Spurs ketika mengulas perlawanan tersebut, telah mengejek dengan katanya,

Usaha yang hebat dari Karim Ait-Fana menjaringkan gol dari luar dan kemudian memakan rumput seperti biasanya.”

Sebenarnya, apa yang dilakukan oleh pemain Montpellier yang beragama Islam iaitu Karim Ait-Fana asal Moroko hanya bersujud bersama rakannya Younnes Belhanda setelah berjaya menjaringkan gol. Mereka bukannya memakan rumput seperti lembu sebagaimana yang didakwa. Jelas komen dari Lineker ini menunjukkan dangkal dan rendahnya tahap pemikirannya.

Hasil dari komennya itu juga, dia mendapat kritikan yang sangat hebat dari pengikut-pengikutnya di twitter. Bukan itu sahaja, bahkan turut dikecam keras oleh pelbagai pertubuhan dan masyarakat Islam.

Seorang imam di London, Ajmal Mansoor menyatakan,

Menyamakan sujud syukur sebagai lembu makan rumput adalah tindakan jelek yang dilakukan Lineker

“Sebuah pernyataan bodoh, sebuah tindakan yang tidak profesional bagi legenda bola sepak yang sepatutnya menjadi ikutan. Dia seharusnya memohon maaf atau dipecat dari TV al-Jazeera.”

Setelah dikecam dengan teruk, akhirnya lelaki berusia 51 tahun ini memohon maaf dengan menyatakan, “Saya meminta maaf, tetapi saya tidak terlalu memerhatikan agama setiap pemain.”

Bagi orang seperti Lineker yang kurang ilmu pengetahuan tentang Islam, aksi bersujud yang dilakukan itu adalah sebagai menzahirkan rasa kesyukuran kepada Allah, atas nikmat yang diberi.

Baginda s.a.w. sendiri pernah melakukannya sebagaimana dalam hadis daripada Abi Bakrah r.a. katanya,

Bahawa Nabi s.a.w. apabila datang kepadanya sesuatu yang menggembirakan atau khabar suka, Baginda terus sujud berterima kasih kepada Allah.” – HR Abu Daud

Walaupun sujud ini tertakluk dengan beberapa syarat seperti suci dari hadas, menutup aurat dan menghadap kiblat, namun tidak salah jika dilaksanakan pada ketika itu sebagai menunjukkan kesyukuran dan rasa rendah diri seseorang terhadap penciptanya.

Bahkan gaya ini juga telah menjadi ikutan kepada peminat-peminat bola sepak sehingga terdapat usaha serta saranan daripada para peminat permainan konsol komputer, untuk memasukkan aksi ini dalam konsol permainan FIFA.

Tidakkah ini juga sedikit sebanyak memberi ruang kepada bukan Islam untuk mengenali agama Islam?

_________________________________

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram