Sewaktu penakluk Sepanyol, Francisco Pizzaro berjaya menawan peradaban Inca pada 1530, dia percaya jika di benua itu tersembunyi kekayaan yang masih belum diterokainya.

Kemudian, muncul seorang pembawa pesan yang mahu menyampaikan pesanan untuk raja Inca tanpa menyedari kerajaan itu telah tumbang di tangan Sepanyol yang dipimpin oleh Pizzaro.

Ketika disoal siasat, pembawa pesan itu memberitahu dia mewakili salah satu suku di wilayah Bogata dalam jajahan Inca. Dia menceritakan tentang sebuah kerajaan lain dalam wilayah yang sama di mana sang raja memakai selimut emas dan berenang di danau emas.

Dari situ muncul lagenda yang disebut ‘El Dorado’ yang bermaksud ‘manusia bersalut emas’. Khabar itu membuat Sepanyol mengirim lima kumpulan ekspidisi yang besar bagi mencari wilayah El Dorado yang diibaratkan lubuk emas.

Salah satu daripada ekspidisi itu dipimpin oleh Gonzalo Jimenez De Quesada. Bersama 500 pengikutnya pada 1536, Quesada masuk ke hutan tebal yang kini berada dalam wilayah Colombia untuk melunaskan misi pencarian kota emas itu.  

Gonzalo Jimenez De Quesada.

Pencarian yang memakan masa berbulan itu gagal. Tiada raja emas mahupun danau emas ditemui. Quesada sekadar menemui satu suku Chibca yang kaya.

Satu cerita yang disampaikan oleh suku Chibca mengenai sebuah danau misteri yang terletak berdekatan kawah gunung di dataran tinggi Andes. Danau itu disebut sebagai danau Guatavita.

Mereka menceritakan setiap tahun di danau itu akan dilakukan satu upacara oleh suku kaum Muisca sebagai persembahan terhadap dewa mereka. Sewaktu upacara itu berlangsung, raja suku itu akan dilumurkan dengan lumpur sebelum dilapiskan dengan debu emas.

Kemudian, bersama ketua suku yang lain, mereka akan mengayuh rakit yang berisi emas dan perhiasan lainnya hingga ke tengah danau tersebut. Segala emas dan perhiasan itu akan dibuang ke dalam danau. Setelah itu, raja tadi akan terjun ke dalam danau untuk membersihkan tubuhnya daripada lumpur dan debu emas tadi.

Kisah itu meyakinkan Quaseda bahawa El Dorado memang wujud, sekalipun misinya gagal menemui kota emas itu. Pencarian diteruskan. Namun, Quaseda gagal menemui suku Muisca yang diceritakan tapi berjaya menemui danau Guatavita.

Quaseda mengarahkan para pekerja untuk menimba keluar air dalam danau itu. Selepas tiga bulan usaha itu dilakukan, paras air hanya turun sekitar tiga meter saja. Quesada berjaya membawa naik 18 kilogram emas dari dalam danau itu.

Usaha mengeringkan Guatavita

Sejak itu, ramai pihak menyimpan cita-cita mahu mengaut kekayaan yang tersembunyi di dasar danau Guatavita.

Tahun 1580, seorang pedagang dari Bogota mengerahkan lapan ribu penduduk untuk mengeringkan danau itu dengan membuat pintu-pintu aliran air di sisi danau tersebut. Kaedah itu berjaya menurunkan paras air sehingga 20 meter. Pedagang itu mengaut untung besar apabila menemui banyak emas dalam danau itu.

Tetapi, ketamakannya itu membuat tebing danau runtuh dan mengorbankan ramai pekerja menyebabkan usaha itu ditamatkan. Malah, hingga sekarang kesan bahagian sisi danau yang seolah-olah terpotong masih kelihatan.

Danau Guatavita.

Keinginan bangsa Eropah untuk mencari El Dorado masih berterusan. Muncul seorang lelaki bernama Juan Martinez yang mendakwa sebagai salah seorang anak kapal sebuah kapal pelayaran Sepanyol yang menjelajah ke dalam hutan belantara melalui sungai Caroni hingga sampai ke sungai Orinoco.

Dalam penjelajahan itu, bilik tempat menyimpan bahan letupan yang dijaga oleh Martinez telah meletup dan merosakkan kapal pelayaran. Akibatnya, penjelajahan terpaksa dibatalkan dan sebagai hukuman, Martinez ditinggalkan di sungai tersebut bersama sebuah sampan kecil.  

Berseorangan dalam hutan tebal, Martinez menemui sekolompok suku Indian yang membantunya. Namun, mereka terlebih dahulu menutup mata Martinez sebelum dibawa ke penempatan kerajaan mereka yang dikenali sebagai Manoa. Menurut Martinez, istana raja Manoa yang dikungjunginya itu diperbuat daripada emas.

Dakwaan ini menambahkan lagi semangat bangsa Eropah untuk mencari El Dorado. Sekalipun misi sebelum ini menemui kegagalan, mereka tetap percaya ada satu benua Amerika yang tersembunyi dengan kekayaan yang besar.

Pada 1595, seorang penjelajah ternama iaitu Sir Walter Raleigh memulakan penjelajahan menerusi sungai Orinoco di Amerika Selatan untuk mencari kerajaan Manoa. Sayangnya, ekspidisi itu gagal menemui sebarang petanda sebaliknya, hanya menemui sisa kapal Sepanyol yang musnah kerana letupan, iaitu kapal yang dinaiki Martinez. Bermakna, kata-kata Martinez masih boleh dipercayai.

Sir Walter Raleigh.

Dengan tajaan pihak Inggeris, sekali lagi Raleigh memulakan ekspidisi yang sama pada tahun 1618. Namun, tetap gagal.

Pencarian El Dorado tidak terhenti setakat itu. Telah ramai penjelajah meneruskan pencarian kota emas itu pada abad-abad berikutnya, namun hampa.

Dalam pada itu, keinginan mengaut hasil danau Guatavita yang dikaitkan dengan El Dorado tidak pernah surut. Tahun 1911, sebuah syarikat emas pula mencuba nasib di danau itu.

Terowong di bina untuk mengalirkan air tasik keluar. Tetapi, lumpur danau itu segera mengeras apabila kering dan titisan hujan memenuhi semula danau tersebut. Tiada keuntungan yang berjaya diraih syarikat itu, hanya sekadar menemukan beberapa objek emas yang kemudian dilelong untuk membayar kembali pelabur mereka.

Antara artifak yang ditemui di danau Guatavita.

Semakin lama, kisah El Dorado mula dilupakan. Ada yang beranggapan ia tidak lebih sekadar satu lagenda. Tak kurang juga yang membuat spekulasi bahawa kisah El Dorado hanya cerita rekaan suku Indian bagi mengalihkan perhatian penjajah daripada menakluki penempatan mereka.

Namun, tahun 1969, kisah kota emas ini mula diperkatakan semua. Puncanya apabila pekerja yang menggali sebuah gua kecil berdekatan Bogota telah menemui sebuah patung emas berbentuk rakit dengan figur kepala suku bersama lapan figur lain di atasnya.

Patung emas berbentuk rakit yang ditemui menguatkan semula kisah ritual kaum Muisca.

Bentuk patung emas itu segera dikaitkan dengan kisah ritual kaum Muisca yang pernah diceritakan ratusan tahun dahulu. Bermakna, lagenda itu memang benar sekalipun sehingga kini, belum ada sesiapa yang berjaya menemukan kota emas yang jadi igauan para penjelajah.

Hari ini, apa yang boleh disaksikan hanyalah danau Guatavita yang menjadi saksi bisu tentang kewujudan El Dorado. Danau itu tampak sepi, tidak lagi dikerumuni oleh mereka yang dahagakan harta di dalamnya seperti satu ketika dulu.

Kini, tasik ini merupakan salah satu destinasi pelancongan popular di Colombia.    Namun, jika ditanya penduduk di sana, mereka masih yakin bahawa emas El Dorado masih tersembunyi di dasar danau yang kian sepi itu.  

_____________

Kisah lain : Tercatatnya sejarah sebuah kota dari telaga tempat gajah bersiram