“Jangan berdolak-dalik dengan alasan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah tidak bertitah bulan berapa Parlimen harus bersidang.”
Itu kata Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan yang turut menegaskan kerajaan sewajarnya memanggil persidangan Parlimen dengan kadar segera.
Menurut Mohamad atau Tok Mat, Parlimen tidak memerlukan pelbagai fasa dan syarat untuk kembali dibuka.
Kata beliau, pembukaan Dewan Rakyat juga adalah medan sebenar kepada segala usaha pemulihan negara untuk diperdebat dan dibincangkan.
“Saya menyeru dengan tegas agar titah dan hikmah Yang di-Pertuan Agong diterjemahkan segera.
“Mempolitikkan titah Seri Paduka tidak akan membantu pemulihan pantas negara ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Baca artikel berkaitan: Sidang Parlimen perlu diadakan secepat mungkin – Agong
Raja-Raja Melayu berpendapat tak perlu lanjut Darurat, sokong pendirian Agong
Mengulas lanjut, Tok Mat yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau turut menegaskan apa juga alasan untuk melengahkan pembukaan Parlimen bukan sahaja tindakan anti demokrasi tetapi menyinggung kemuliaan dan kebijaksanaan institusi diraja yang bebas dan berada di atas politik.
“Pengumuman kerajaan melalui Pelan Pemulihan Negara bahawa Parlimen boleh dibuka menjelang September atau Oktober bukan satu kepastian.
“Ia tertakluk kepada pelbagai syarat seperti pengurangan kes dan kadar vaksinasi melalui pelbagai fasa yang digariskan,” jelas beliau.
Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan dalam Bicara Harakah bertajuk ‘Proklamasi Darurat: Berjaya atau Sebaliknya’ yang disiarkan secara maya berkata pandangan Yang di-Pertuan Agong tidak memperincikan bila persidangan Parlimen perlu dilaksanakan.
Takiyuddin malah berkata, Seri Paduka hanya berpandangan supaya Parlimen perlu bersidang secepat mungkin tanpa menetapkan tarikh tertentu.
Al-Sultan Abdullah menzahirkan pandangan bahawa sesi persidangan Parlimen perlu diadakan secepat mungkin bagi membolehkan Ordinan Darurat dan Pelan Pemulihan Negara dibahaskan ahli Dewan Rakyat.
Titah itu dikeluarkan selepas Sesi Perbincangan Khas antara Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu di Istana Negara semalam.
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

