TUJUH Ahli Parlimen kerajaan menggesa pelaksanaan Universal Recruitment Advanced Platform (TURAP) ditangguhkan.
Penangguhan itu sehinggalah kerajaan memberi penjelasan menyeluruh kepada Parlimen dan orang ramai berhubung struktur pelaksanaannya, termasuk isu perolehan, tadbir urus serta perlindungan data.
Mereka berkata, TURAP tidak seharusnya menjadi satu lagi monopoli swasta dalam ekosistem pengambilan pekerja asing, terutama jika syarikat sama yang mengendalikan Foreign Workers Centralised Management System (FWCMS), Bestinet, sekali lagi diberi peranan utama.
Kenyataan bersama itu dikeluarkan Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung; Ahli Parlimen Subang, Wong Chen; Ahli Parlimen Wangsa Maju, Zahir Hassan; Ahli Parlimen Balik Pulau, Muhammad BakhCar Wan Chik; Ahli Parlimen Ampang, Rodziah Ismail; Ahli Parlimen Sungai Siput, Kesavan Subramaniam dan Ahli Parlimen Gopeng, Tan Kar Hing.
Mereka mempersoalkan sama ada Kabinet sudah meluluskan TURAP dan mengapa Bestinet sekali lagi dikaitkan dengan sistem utama pengurusan pengambilan pekerja asing di negara ini.
“TURAP bukan sekadar aplikasi teknikal. Ia membabitkan proses pengambilan pekerja, padanan majikan, imigresen, mobiliti pekerja, kos pengambilan, hak pekerja dan data peribadi yang sensitif.
“Sistem seperti ini tidak boleh diputuskan secara tertutup atau diperkenalkan sebagai sesuatu yang sudah muktamad tanpa penelitian awam,” menurut kenyataan itu hari ini.
Menurut mereka, matlamat TURAP untuk menghapuskan orang tengah yang mengeksploitasi pekerja, memadankan pekerja secara terus dengan majikan dan mengurangkan kos pengambilan sememangnya wajar disokong.
Bagaimanapun, mereka menegaskan platform digital semata-mata tidak menjamin pembaharuan sekiranya aspek ketelusan, penguatkuasaan dan akauntabiliti tidak diperkukuhkan.
Mereka turut mengingatkan mengenai dapatan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) yang sebelum ini membangkitkan pelbagai kelemahan dalam pengurusan FWCMS, termasuk sistem itu beroperasi lebih enam tahun tanpa kontrak rasmi antara kerajaan dan Bestinet.
Selain itu, Laporan Ketua Audit Negara 2022 turut mengklasifikasikan pengurusan keseluruhan FWCMS sebagai tidak memuaskan.
Mereka berkata, walaupun isu itu dibangkitkan, kerajaan kemudiannya memeterai perjanjian dengan Bestinet bermula Jun 2024 hingga Januari 2031 pada kadar RM215 bagi setiap pekerja asing berbanding RM100 sebelum ini.
“Rakyat berhak mengetahui mengapa kerajaan kini mempertimbangkan untuk memberikan satu lagi platform utama dalam rantaian pengambilan pekerja asing kepada syarikat yang sama,” katanya.
Kenyataan itu turut mempersoalkan sama ada TURAP dicadangkan menerusi rundingan terus dengan Bestinet dan jika benar, mengapa kaedah berkenaan dibenarkan.
Menurut mereka, platform nasional yang membabitkan jutaan pekerja asing, data sensitif serta potensi hasil jangka panjang yang besar sewajarnya dilaksanakan menerusi tender terbuka atau proses permintaan cadangan (RFP) yang telus.
Mereka turut membangkitkan laporan bahawa cadangan Bestinet dikatakan membabitkan kontrak selama 12 tahun dengan caj sehingga AS$1,000 (kira-kira RM4,000) bagi setiap permohonan pekerja asing, selain bayaran bersamaan gaji sebulan bagi setiap pekerja.
“Walaupun syarat itu mungkin masih di peringkat perbincangan, ia menimbulkan persoalan serius mengenai kemampuan kos, nilai untuk wang dan sama ada pembaharuan yang dikatakan mesra pekerja akhirnya hanya mewujudkan satu lagi konsesi swasta yang menguntungkan,” katanya.
Sehubungan itu, mereka mengemukakan lapan persoalan kepada kerajaan, antaranya sama ada TURAP sudah diluluskan Kabinet, sama ada ia dianugerahkan melalui rundingan terus, sama ada ia distrukturkan sebagai projek kerjasama awam-swasta (PPP) di bawah Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS), selain butiran konsesi, model bayaran, pemilikan data serta langkah melindungi pekerja daripada dikenakan yuran pengambilan yang berlebihan.
Menurut mereka, Malaysia sememangnya memerlukan reformasi sebenar dalam sistem pengambilan pekerja asing bagi menghapuskan yuran melampau, eksploitasi ejen dan amalan perhambaan hutang.
“Bagaimanapun, reformasi tidak boleh bermaksud menggantikan ramai orang tengah dengan satu monopoli swasta yang lebih berkuasa.
“Malaysia tidak memerlukan satu lagi sistem yang tidak telus dalam pengambilan pekerja asing. Sebaliknya, negara memerlukan sistem yang telus, kompetitif, bertanggungjawab kepada kerajaan dan benar-benar mengutamakan kebajikan pekerja,” katanya.

Penulis merupakan wartawan di UtusanTV dengan pengalaman 11 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada Januari 2022, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media arus perdana dan portal berita lain sejak 2015. Sepanjang kerjaya, penulis telah menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu seperti jenayah, politik, perkembangan semasa dan hiburan.

