
SERAMAI 33,800 individu disasarkan menerima vaksin mulai hari ini sehingga 26 Jun menerusi pelaksanaan fasa kedua program vaksinasi bergerak [email protected] di seluruh Wilayah Persekutuan.
Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa berkata, fasa kedua [email protected] melibatkan golongan individu berisiko tinggi termasuk peniaga, pekerja pasar harian dan penjaja; kawasan industri dan penempatan gelandangan.
Selain itu, kata beliau, fasa kedua turut membabitkan Program Perumahan Rakyat (PPR), Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN), Perumahan Awam Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan kampung-kampung tradisi.
Beliau berkata, fasa kedua ini akan dilaksanakan di 22 lokasi termasuk Pasar Borong Kuala Lumpur, Pasar Harian Selayang, lapan kawasan industri, tujuh PPR MTEN dan PA DBKL serta pusat penempatan gelandangan di Pusat Komuniti Gelandangan di Setiawangsa, Desa Aman, Desa Tasik, Kampung Sungai Penchala dan Kampung Padang Balang.

“Dengan kapasiti 600 dos vaksin sehari bagi setiap lokasi yang menggunakan keseluruhan 13 trak vaksin bergerak merangkumi 52 doktor, 104 jururawat dan lebih 150 petugas pentadbiran akan dapat mencapai sasaran 80 peratus warga Kuala Lumpur divaksinasi menjelang Ogos 2021.
“Inisiatif ini dilakukan untuk meningkatkan tahap kesiapsiagaan dengan memfokuskan pemberian vaksin kepada warga Kuala Lumpur bagi mencapai imuniti kelompok dalam kadar segera,” katanya selepas melawat proses vaksinasi di Pasar Borong Kuala Lumpur, hari ini.

Sebanyak empat buah trak vaksinasi telah dibuka seawal pukul 9 pagi dengan 2,154 individu menerima suntikan hari ini.
Sementara itu, seramai 623 peniaga, pembantu dan pekerja Pasar Harian Selayang bakal memperoleh vaksin COVID-19, esok.
Mengulas lanjut, Annuar berkata, pihaknya menyasarkan sebanyak 40 trak bagi Program Vaksinasi Bergerak [email protected] dengan 33,000 suntikan vaksin sehari untuk dilaksanakan di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.

Beliau memaklumkan, sasaran itu mampu dicapai menerusi pertambahan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) mega selain PPV di klinik dan hospital swasta di samping melalui program vaksinasi bergerak.
“Kejayaan program vaksinasi ini adalah hasil kerjasama strategik Kementerian Wilayah Persekutuan bersama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), DBKL dan Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP).
“Pelaksanaan Program Vaksinasi Bergerak [email protected] ini juga mendapat sokongan teknikal dan logisitik daripada pelbagai pihak termasuk sukarelawan serta persatuan-persatuan penduduk atau majlis perwakilan penduduk Wilayah Persekutuan yang bersama-sama berganding bahu dalam menjayakan program ini,” jelas beliau.

