HOSPITAL Melaka akan dijadikan penanda aras mandatori bagi pelaksanaan model pengurusan hospital di seluruh negara susulan kejayaannya mengurangkan kesesakan pesakit menerusi transformasi digital dan pembaharuan struktur operasi.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, hospital berkenaan membuktikan strategi pengurusan yang cekap dan penggunaan teknologi mampu meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan kesihatan awam secara ketara.
Sehubungan itu, beliau mengumumkan kelulusan peruntukan khas segera berjumlah RM1.6 juta bagi tujuan perolehan aset serta penambahbaikan infrastruktur Hospital Melaka bagi menyokong momentum kecemerlangan operasinya.
“Hospital Melaka telah membuktikan bahawa pembaharuan struktur dan pendigitalan mampu mengubah landskap penyampaian perkhidmatan kesihatan awam.
“Melalui pelaksanaan Bed Management System (BMS) yang diselaraskan menerusi Unit Pengurusan Katil, Penyelaras Jururawat dan Pengurusan Pemindahan Pesakit, hospital ini berjaya mengurangkan masa menunggu katil wad sebanyak 46 peratus,” katanya dalam kenyataan selepas mengadakan lawatan kerja ke Hospital Melaka, hari ini.
Beliau berkata, inovasi sistem triad digital i-CEMAS yang muncul naib juara Anugerah Inovasi Kementerian Kesihatan (KKM) 2025 turut membantu menjimatkan masa menunggu pesakit bukan kecemasan sehingga 68 minit.
Menurutnya, kejayaan itu bukan sahaja meningkatkan kecekapan operasi hospital, malah memberi impak langsung kepada pengalaman pesakit yang menerima rawatan.
Katanya, maklum balas diterima menunjukkan ramai pesakit memuji kualiti perkhidmatan di Hospital Melaka yang disifatkan prihatin, profesional dan setanding dengan sektor penjagaan kesihatan swasta.
“Saya melihat model kejayaan berimpak tinggi di Hospital Melaka ini sebagai satu pencapaian yang amat membanggakan.
“Saya telah mengarahkan supaya model ini dijadikan kayu ukur mandatori untuk dilaksanakan di semua hospital KKM di seluruh negara,” katanya.
Dzulkefly berkata, gabungan tadbir urus yang cekap dan inovasi berteraskan keperluan pesakit itu selari dengan prinsip kesaksamaan dan ihsan yang menjadi teras Kerajaan MADANI.
Beliau menegaskan KKM akan terus menyokong dan melabur dalam usaha pembaharuan seumpama itu bagi memastikan sistem kesihatan negara kekal mampan, moden dan berorientasikan rakyat.
“KKM komited memastikan sistem kesihatan negara bukan sahaja canggih dan berdaya tahan, malah terus mengekalkan nilai kemanusiaan dalam penyampaian perkhidmatan kepada seluruh rakyat Malaysia,” katanya.

Penulis merupakan wartawan di UtusanTV dengan pengalaman 11 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada Januari 2022, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media arus perdana dan portal berita lain sejak 2015. Sepanjang kerjaya, penulis telah menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu seperti jenayah, politik, perkembangan semasa dan hiburan.

