Pertengahan Julai, 2008… Hujan masih lebat. Dari tengah hari hingga lewat petang, masih belum ada tanda ia akan berhenti. Saya mula risau kerana sudah pukul 7.15 malam, tapi anak sulung kami, Rafiqi, 16, dan Aisyah, 14, masih belum pulang dari sekolah.   

Saya terus berdiri di tepi tingkap, menanti kepulangan dua anak kesayangan saya itu sambil melihat kenderaan yang melintasi persekitaran flat kediaman yang kami diami sejak 5 tahun lalu itu.

Sedang saya memerhatikan titisan hujan yang turun mencurah, sebuah motosikal meluncur di jalan raya berhadapan flat kami. Ia ditunggangi seorang lelaki. Di hadapannya, kelihatan seorang kanak-kanak duduk sambil menundukkan muka. Di bahagian belakang pula, dibonceng seorang wanita sambil meriba anak kecilnya.

Ya Allahhh…

Saat itu hati saya menjadi hiba. Melihat langit gelap, angin bertiup kencang serta keempat-empat mereka dibasahi hujan, dada saya berasa sebak. Kasihan…

Lantas, ingatan itu datang kembali. Ya, dalam hujan lebat begini…       

Masih jelas di ingatan saya, pada lewat petang 12 tahun lalu, saya bergegas pulang dari tempat kerja apabila isteri saya, Seri, menelefon supaya pulang cepat. Badan anak kami, Aisyah panas.

Dalam lewat petang begitu juga, ketika langit ditutupi awan hitam dan angin bertiup kencang, saya memecut motosikal menuju ke rumah sewa kami ketika itu, di sebuah kampung di Johor.

Pukul 6.50 petang, semuanya sudah bersiap. Rafiqi yang ketika itu berusia empat tahun, saya dudukkan di depan. Seri pula di belakang sambil meriba Aisyah yang usianya hampir dua tahun.

Saya hidupkan enjin motosikal ketika langit semakin gelap dipayungi awan hitam. Hujan pasti turun sebenar lagi.

Ketika berpaling ke belakang, mata saya dan Seri bertembung. Saya faham perasaan isteri saya itu. Tentu dia resah kerana kami hanya ada satu pilihan saja, iaitu pergi ke klinik di bandar yang letaknya 20 kilometer dari rumah kami. Memang jauh, tapi kami tiada pilihan kerana klinik kerajaan di kampung kami sudah tutup.

Saya cium Aisyah yang sedang merengek dalam dukungan Seri. Dahinya panas, nafasnya juga panas. Perlahan-lahan motosikal meninggalkan pekarangan rumah kami itu.

Beberapa kilometer kemudian, awan hitam itu mula menurunkan rintik-rintik hujan. Aduh, saya terlupa bawa baju hujan. Lantas saya melajukan lagi motosikal. Kami mesti cepat sampai ke klinik. Mesti.

Saya terus memecut motosikal kerana pertama, kami tidak boleh berteduh di mana-mana. Kiri dan kanan sepanjang jalan yang kami lalui itu tidak ada pokok walau kecil, atau pondok yang boleh kami bertumpang teduh. Kedua, hari semakin gelap, saya bimbang terlewat sampai ke klinik.

Dari renyai, hujan menjadi lebat. Kami berempat kebasahan. Lencun. Namun, saya tidak boleh berhenti, saya mesti cepat sampai ke klinik. Mesti! Aisyah harus dirawat segera kerana ruam-ruam merah sudah tumbuh di badannya.  

Dalam kehujanan itu, hati saya terasa sebak. Rafiqi basah kuyup. Aisyah merengek kesejukan. Begitu juga Seri, isteri yang saya sayangi, yang sentiasa tersenyum dan sabar menghadapi hidup kami yang tidak semewah orang lain.

“Abah, cejuk…” kedengaran suara pelat anak sulung kami. Ketika ini saya berasa benar-benar hiba. Ah, alangkah eloknya kalau saya punya kereta sendiri…

Saya cuba menahan air mata. Namun tidak berjaya. Air mata meronta-ronta untuk keluar. Lalu saya lepaskannya juga. Dari sedikit menjadi lebat. Air mata terus mencurah bercampur air hujan yang telah sedia memenuhi muka saya ini.

Sepanjang jalan, beberapa kali saya kesat air mata itu, namun ia terus juga mengalir. Di saat itu saya merasa begitu bersalah. Saya sepatutnya mempunyai kereta, agar anak isteri tidak kesejukan dan basah begini. Tapi… saya tidak mampu. Saya hanya pekerja am.

Tiba di pekan, hari sudah gelap. Hujan masih lagi lebat. Saya cepat-cepat kesat air mata dan berhentikan motosikal di hadapan klinik. Seri mendukung Aisyah dan saya mendukung Rafiqi. Kami bergegas menuju pintu klinik, tetapi…

Ya Allah…!!!

Langkah kaki saya terhenti. Saya perhatikan betul-betul papan notis yang digantung pada tombol pintu kaca klinik itu… ‘TUTUP’.

Saya dan Seri berpandangan sesama sendiri. Mulut kami terkunci. Aisyah dan Rafiqi pula terus-terusan menangis…

**Kisah di atas kiriman dari Mohd. Razip Ahmad Salman, salah satu pengalaman hidupnya satu ketika dahulu.

Bak kata pepatah, kasih ibu membawa ke syurga, kasih ayah sepanjang masa. Selamat Hari Bapa buat para pembaca yang bergelar bapa.

_________

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram