SEORANG wanita 41 tahun yang membunuh pembantu rumahnya selepas berkali-kali mendera mangsa sepanjang tempoh 14 bulan dijatuhi hukuman penjara selama 30 tahun oleh sebuah mahkamah Singapura, hari ini.
Hakim Mahkamah Tinggi, See Kee Oon berkata:” Kata-kata tidak dapat menggambarkan dengan jelas kekejaman terhadap tingkah laku kejam tertuduh.”
Malah beliau sebagaimana lapor Straits Times menyifatkan kes itu sebagai “antara kes pembunuhan yang paling teruk”, dan menyatakan mangsa dibuat untuk menderita akibat kecederaan fizikal dan psikologi sejak sekian lama sebelum dia meninggal dunia.
Pada Februari lalu, Gaiyathiri Murugayan mengaku bersalah atas 28 tuduhan termasuk membunuh tanpa niat, sengaja mencederakan dengan membiarkan pembantunya kebuluran, menggunakan bahan panas dan menahan secara paksa.
 Piang Ngaih Don, warga Myanmar 24 tahun, meninggal dunia pada pagi 26 Julai 2016 selepas diserang oleh Gaiyathiri dan ibunya sehingga tulang kerongkong mangsa retak selain mengalami cedera otak.
Mangsa dengan berat 39 kilogram (kg) semasa dia mula bekerja dengan keluarga itu pada Mei 2015 hanya mempunyai berat 24 kg semasa dia meninggal dunia pada 26 Julai 2016.
Sepanjang sekitar 14 bulan, Piang Ngaih Don bekerja dengan Gaiyathiri pada Mei 2015, beliau ditendang, ditumbuk dan dipukul menggunakan dengan perkakas rumah seperti penyapu dan senduk besi.
Gaiyathiri juga mengangkat Piang Ngaih Don dengan menarik rambutnya, menghayun mangsa hingga rambutnya tercabut bahkan pernah mengenakan seterika kepada tangan mangsa hingga melecur.
Suri rumah itu sebelum ini dkenakan tuduhan membunuh seperti disarankan Peguam Negara tetapi dikurangkan kepada tuduhan membunuh tanpa niat selepas bukti-bukti lain ditemui.
Selain mengalami gangguan tekanan besar, Gaiyathiri juga mengalami gangguan kepribadian obsesif kompulsif yang sebelum ini dibentangkan di mahkamah sebagai pengaruh besar dia melakukan kesalahan.
Peguam bela juga mengetengahkan bahawa tertuduh mengalami kesukaran menjaga anak-anaknya yang sakit.
Suami Gaiyathiri, Kelvin Chelvam, bekas pegawai polis yang sudah digantung kerja, menghadapi lima tuduhan berhubung kes itu selain berbohong kepada polis bahawa CCTV dalam flatnya sudah dibuka.
Kes ibu Gaiyathiri, Prema Naraynasam sedang disiasat.

