Buat laporan palsu: Pempengaruh dan adik dijel sebulan, denda RM1,500

Dari Penulis

PADAH membuat laporan palsu kononnya hilang di Sungai Tui pada minggu lalu, seorang pempengaruh serta adiknya masing-masing dipenjara sebulan dan didenda RM1,500 oleh Mahkamah Majistret Muar, hari ini.

Majistret Suzana Mokhtar menjatuhkan hukuman itu selepas kedua-dua tertuduh Tengku Nizaruddin Tengku Zainudin atau lebih dikenali sebagai Ija, 38, serta adik, Tengku Abdul Aziz, 30, mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan ke atas mereka.

Suzana mengarahkan agar dua beradik itu dipenjarakan bermula dari tarikh sabitan, pada hari ini.

Sekiranya gagal membayar denda terbabit, mahkamah memerintahkan agar Tengku Nizaruddin dipenjarakan tiga bulan lagi, manakala Tengku Abdul Aziz enam bulan lagi.

Kedua-dua tertuduh difahamkan membayar denda terbabit, memetik laporan Berita Harian.

Mengikut kerta pertuduhan, mereka didakwa bersubahat dan memberi maklumat palsu kepada penjawat awam berhubung kehilangan Tengku Nizaruddin, di Balai Polis Lenga, di Muar, pada jam 11.38 malam 14 Julai lalu.

Dua beradik itu didakwa mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 182 Kanun sama dan boleh dihukum penjara hingga enam bulan atau denda hingga RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Terdahulu peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) Nor Hafizah Abdullah yang mewakili dua beradik itu memaklumkan mahkamah bahawa kesalahan itu dibuat oleh anak guamnya bukan kerana berkahwin di Thailand, sebaliknya ekoran masalah kewangan yang dialaminya.

Tengku Nizarudin ketika merayu sebelum hukuman dijatuhkan memohon agar tidak dipenjarakan memandangkan isterinya sedang hamil enam bulan, selain menyesal dan akan membuat permohonan maaf secara terbuka kepada kesemua pihak akibat tindakannya itu.

Menurut fakta kes, Tengku Abdul Aziz membuat laporan polis pada 14 Julai lalu bahawa abangnya itu hilang, sebelum orang awam menemui sebuah kereta didakwa dipandu Ija, dalam Sungai Tui pada jam 3 petang keesokannya.

Susulan itu, operasi mencari dan menyelamat (SAR) dilancarkan pada hari sama, namun kejadian sebenar terbongkar pada jam 12.30 tengah malam 19 Julai lalu yang mana dua beradik terbabit disyaki membuat laporan palsu apabila Tengku Nizarudin didapati masih hidup serta melarikan diri ke negara jiran.

Helah itu terbongkar apabila hasil siasatan mendapati dua beradik itu bergerak berasingan dari Johor Bahru sebelum Ija meminta adiknya itu meneruskan perjalanan, manakala dia pula ke arah Pagoh.

Setiba di lokasi, Tengku Nizarudin dipercayai menenggelamkan kereta terbabit ke dalam Sungai Tui dan meminta adik datang menjemputnya sebelum memasuki Thailand melalui Padang Besar di Perlis.

Siasatan turut mendapati terdapat rekod pergerakan masuk Tengku Nizarudin itu didalam sistem Jabatan Imigresen Malaysia, selain tiket penerbangan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Hat Yai bertarikh 17 Julai lalu yang ditempah sehari sebelum itu.

Tengku Nizarudin juga dikatakan menempah perkhidmatan e-hailing dan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) memaparkan kelibatnya di Terminal Bas Seremban pada jam 9.25 malam 14 Julai lalu.


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Berkaitan

UMNO-BN Negeri Sembilan sedia letak calon di semua 36 kerusi DUN

UMNO-Barisan Nasional (BN) Negeri Sembilan bersedia untuk meletakkan calon di semua 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang akan...

More Articles Like This