Ghana, sebuah negara yang terletak di bahagian Afrika Barat. Ada sebuah perkampungan yang terletak di utara negara tersebut iaitu Paga.

Apa yang istimewanya tentang Paga ini, ia merupakan sebuah desa di mana manusia dan buaya hidup harmoni bagaikan ‘rakan’ dalam suasana yang aman.

Di desa ini, terdapat sebuah kolam yang dihuni buaya. Penduduk di desa ini hidup tenang bersama buaya-buaya ini. Mereka boleh ‘bergurau senda’ tanpa takut dengan haiwan ini. Belum pernah berlaku kejadian penduduk yang cedera akibat diserang buaya di kawasan ini.

Semacam ada suatu hubungan istimewa di antara kedua-dua belah pihak apabila penduduk kampung dan buaya di sini seakan saling mengenali.

Orang-orang kampung boleh berenang dan bersuka ria, membasuh pakaian dalam kolam tersebut yang mana ia turut menjadi sumber air utama di desa berkenaan. Bukan itu saja, bahkan mereka boleh bergurau senda, bergambar dan berbaring di atas reptilia itu tanpa rasa takut.

Apa yang menghairankan ialah buaya-buaya itu langsung tidak bersikap agresif apabila berhadapan dengan penduduk kampung berkenaan.

Kanak-kanak akan turun ke kolam itu untuk menangkap ikan. Mereka tahu kolam Bolgatanga itu adalah sarang buaya yang dihuni ratusan ekor reptilia itu. Namun itu tidak mendatangkan masalah.

Sekalipun ada buaya yang datang menghampiri, mereka tidak lari bertempiaran kerana reptilia ini bukan datang untuk menyerang, sebaliknya ia seperti cuba membantu menghalau ikan di dalam air bagi memudahkan tangkapan.

Hubungan harmonis antara manusia dan buaya di kawasan ini telah membuatkan para pengkaji menjadi buntu untuk menghuraikannya. Malah, kerana keistimewaan itu, Paga telah menjadi antara destinasi pelancongan popular di Ghana.

Jutaan pelancong dari segenap pelosok dunia akan berkunjung ke sini untuk menyaksikan sendiri keistimewaan hubungan antara manusia dan buaya.

Bagaimanapun, pelancong-pelancong yang ingin berdamping dengan buaya perlu ditemani penduduk kampung berkenaan kerana haiwan tersebut akan bersifat jinak sekiranya melihat orang yang dikenali. Sekiranya ia melihat orang-orang asing tanpa penduduk tempatan, buaya-buaya ini sebaliknya bertindak lebih agresif.

Penduduk tempatan di sini percaya bahawa buaya merupakan jelmaan roh ahli-ahli keluarga penduduk kampung yang telah meninggal dunia. Disebabkan itu, haiwan itu tidak akan membunuh atau menyerang mereka.

Menurut legenda tempatan, salah seekor buaya tertua di dalam kolam berkenaan suatu ketika dahulu pernah menyelamatkan seorang penduduk kampung daripada mati lemas. Sebagai gantinya, penduduk tempatan telah menganggap reptilia ini suci dan mereka perlu melayani haiwan tersebut seperti raja. Hingga saat ini, membunuh dan mencederakan buaya adalah sesuatu yang dilarang keras di perkampungan ini.

Tidak diketahui dengan jelas bagaimana dan sejak bila buaya-buaya itu datang ke kolam tersebut. Apa yang pasti, mereka sangat yakin reptilia yang ditakuti manusia itu tidak akan pernah mencederakan mereka, hatta tidak pernah membaham haiwan-haiwan peliharaan di kampung berkenaan.

Senang cakap, buaya-buaya itu tidak pernah menyusahkan atau menimbulkan sebarang kemudaratan kepada penduduk kampung itu, sebaliknya kehadiran buaya di situ sedikit sebanyak telah memajukan lagi desa Paga dari aspek pelancongan.

Salah satu rahsia bagaimana penduduk boleh membina hubungan yang akrab dengan buaya di situ ialah mereka kerap memberi makan haiwan ini dengan bangkai ayam dan unggas hidup. Ia adalah sebagai lambang kasih sayang mereka kepada buaya-buaya berkenaan.

Sekalipun kolam tersebut turut dipenuhi ikan dan katak, tetapi buaya-buaya di Paga kelihatan lebih berminat dengan ayam dan unggas. Malah, sumber kewangan yang diperoleh dari sektor pelancongan lebih banyak dihabiskan oleh penduduk kampung untuk membeli ayam bagi menghidangkannya kepada buaya-buaya tersebut.

_______________

Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com/ atau ikuti media sosial rasmi UtusanTV:

Facebook: https://www.facebook.com/utusantv
Twitter: https://twitter.com/UtusanTV
Instagram: https://www.instagram.com/utusantv/?hl=en

utusantv #urtv #mastika #saji #wanita #hijabfesyen #alislam